Kes terima rasuah ditangguh

Kes terima rasuah ditangguh

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160620_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Hukuman terhadap seorang pegawai bomba dan pengarah urusan sebuah syarikat yang didapati bersalah atas pertuduhan rasuah ditangguhkan, semalam, oleh Mahkamah Majistret selepas seorang daripada tertuduh dilaporkan cuti sakit.

Peguam Yusof Halim yang mewakili Penolong Penguasa Bomba, Wadi bin Haji Tuah memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya diberi sijil cuti sakit selama dua hari, dan tidak dapat hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, Yap Tiew Hon dari Syarikat Pro-Team Construction & Trading Sdn Bhd hadir ke mahkamah.

Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman yang mewakili Yap Tiew Hon memohon mahkamah untuk menangguhkan hukuman memandangkan Wadi tidak hadir ke mahkamah.

Penangguhan ini juga bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan hujahan rayuan dan pelaksanaan penangguhan hukuman bagi pihak tertuduh, katanya.

Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Bahar membenarkan permohonan penangguhan itu dan menetapkan 25 Jun untuk sebutan, dan melanjutkan ikat jamin tertuduh.

ARTIKEL YANG SAMA