Kes tipu Neymar difailkan

Kes tipu Neymar difailkan

SAO PAULO, 3 Feb – Penyerang bintang Barcelona dan Brazil, Neymar sekali lagi menerima tamparan hebat semalam apabila pendakwa raya Brazil memfailkan kes penipuan dan pemalsuan cukai ke atasnya.

Pemain 23 tahun itu serta keluarganya menafikan sebarang salah laku dalam tuduhan berkenaan ketika dia menandatangani kontrak bersama Barcelona pada tahun 2013.

Tetapi beberapa jam selepas Neymar memberikan keterangan di Sepanyol berkaitan satu kes, satu lagi perkara terdedah dan pendakwa persekutuan melancarkan prosiding ke atasnya dan bapanya.

Penyiasat di kedua-dua negara mengesyaki keluarga Neymar dan kelab menyembunyikan nilai sebenar perjanjian ketika Barcelona mendapatkannya dari kelab Brazil, Santos.

Barcelona mengumumkan perpindahan itu sekitar 57 juta euro (RM263.9 juta), tetapi pihak berkuasa Sepanyol merasakan nilai sebenar mungkin melebihi 83 juta euro (RM384.3 juta).

Pendakwa Brazil menuduh pemain yang nama sebenarnya Neymar da Silva Santos Junior, dan bapanya memalsukan kontrak supaya tidak perlu membayar cukai yang terlalu tinggi.

“Sebelum berkata sesuatu yang mengarut – yang saya menyembunyikan itu dan ini – mereka perlu membuktikannya,” kata Neymar yang mendapat sokongan padu pengendali Barca, Luis Enrique. – AFP