Kes wang palsu digugurkan

Kes wang palsu digugurkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160322_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, melepas dan membebaskan dua orang lelaki, masing-masing warga Malaysia dan penduduk tetap daripada pertuduhan memiliki dan menggunakan mata wang palsu Singapura berjumlah $10,000.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan gagal membuktikan elemen pertuduhan.

Seseorang yang curiga akan memeriksa wang itu terlebih dahulu, dan dalam kes ini, kedua-dua defendan telah memeriksanya di Syarikat Labisah dan mendapati terdapat ciri-ciri keselamatan pada wang itu sebelum menggunakannya, kata Hakim.

Tambah Hakim, jika kedua-dua defendan mengetahui wang itu palsu, mereka tidak akan memeriksanya.

“Oleh demikian saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kedua-dua defendan mengetahui atau mempunyai sebab untuk percaya bahawa wang yang digunakan itu adalah palsu,” kata Hakim.

Thian Li Heng, 35, dan Alex Martin Abdullah Chin, 37, terdahulu didakwa menggunakan wang palsu $10,000 untuk membeli dua bar emas di kedai barang kemas, Kiulap.

Kedua-dua tertuduh di kedai yang sama juga menggunakan wang palsu itu untuk membeli satu gelang emas dan dua bentuk cincin emas.

Mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Jun 2014 sekitar jam 5:05 petang.

Kedua-duanya juga dituduh memiliki wang palsu Singapura $10,000 itu di kawasan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Kuala Belait pada 18 Jun 2014 kira-kira jam 4:30 petang.

Alex diwakili Peguam Bela, Christina Lim manakala Thian Li tidak diwakili peguam.

ARTIKEL YANG SAMA