Kesahihan MH370 masih disiasat

Kesahihan MH370 masih disiasat

SANDAKAN/KOTA KINABALU, 11 Okt – Polis Sabah masih menyiasat kesahihan kandungan laporan polis berkenaan penemuan bangkai pesawat kononnya pesawat milik Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya akan memanggil seorang lelaki yang membuat laporan itu di Balai Polis Sandakan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Pihak Cawangan Khas akan menyoal pengadu untuk mendapatkan butiran terperinci. Setakat ini, polis Sabah belum dapat memastikan kesahihan maklumat dalam laporan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata seorang lelaki bernama Jamil Omar, 46, telah membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa ibu saudaranya menemui satu bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina.

“Ibu saudara Jamil mendakwa dalam pesawat itu terdapat banyak rangka manusia selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 70 inci panjang dan 35 inci lebar,” katanya.

Bagaimanapun, Jalaluddin berkata pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada laporan yang diterima itu benar ataupun palsu.

Dalam laporan itu, Jamil mendakwa ibu saudaranya yang berasal dari Tawi-Tawi itu menemui bangkai pesawat berkenaan yang dipercayai MH370 di pulau itu pada awal September lepas. Pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Sementara itu menurut laporan Harian Metro, Jamil Omar telah menyerahkan sehelai bendera Malaysia dan tiga keping gambar Pulau Sugbay kepada pihak polis yang sebelum ini dibawa ke Malaysia oleh ibu saudaranya.

Siti Kayam Kisung, 57, berkata, dia turut terkejut selepas mendengar khabar berkenaan sebelum bergegas mendapatkan bendera berkenaan.

Menurutnya, dia yang dari Pulau Tabawan, Selatan Filipina datang ke Sabah, pada Khamis lalu dengan membawa bendera Malaysia yang didakwa ditemui ahli keluarga mereka di pulau terbabit.

“Bendera itu ditemui dalam bangkai pesawat oleh penduduk pulau itu yang pergi memburu burung.

“Saya berikan semua bukti itu kepada anak saudara sebelum diserahkan bendera itu kepada polis bersama tiga keping gambar pulau atau lokasi umum tempat itu.

“Penduduk di sana mendakwa terlihat bangkai pesawat di pulau itu ketika melawat keluarga di Pulau Sugbay, September lalu,” katanya ketika ditemui di rumah anak saudaranya, Jamil Omar, di Kampung Tb Wad, Batu Dua, Sandakan, petang tadi.

Menurutnya, orang sana tidak kenal bendera Malaysia dan tidak tahu apa-apa mengenai pesawat yang hilang sebab kawasan yang kurang berpenghuni dan sangat jauh serta tiada komunikasi.

“Kerana kurang peralatan elektronik atau kemera, orang sana tidak mampu merakamkan sebarang gambar bangkai pesawat itu.

“Saya kemudian datang ke Sabah lalu menceritakan hal ini kepada mereka dan seorang anak buah saya membuat laporan polis agar dapat membantu dalam pencarian terbabit,” katanya. – HM/Bernama