Kesaksamaan gender terus dipertingkat

Kesaksamaan gender terus dipertingkat

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) – Mesyuarat Anggota Parlimen Wanita ASEAN (WAIPA) yang diadakan sempena Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) hari ini mahu isu kesaksamaan gender terus diberi perhatian oleh pembuat dasar di rantau ini.

Pengerusi WAIPA yang baru dipilih Senator Datuk Doris Sophia Brodie berkata masih ramai yang kurang faham akan isu berkenaan kerana sering kali mengaitkan kesaksamaan gender sebagai sama kaya mahupun sama taraf.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesaksamaan gender lebih menjurus kepada saling menghormati iaitu penerimaan dan pemahaman antara lelaki dengan wanita.

“Saya menekankan di sini kesaksamaan ini harus ada bagi kita mendapat pemahaman menyeluruh dalam semua kerja kita,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat WAIPA di sini.

Doris yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata komitmen berterusan daripada anggota AIPA yang juga penggubal undang-undang sangat penting untuk memastikan pelaksanaan kesaksamaan gender berjaya dilaksanakan dalam kalangan negara ASEAN.

Presiden ASEAN Perhimpunan Antara Parlimen (AIPA) Tan Sri Pandikar Amin Mulia (duduk enam kiri) bergambar kenangan bersama ketua-ketua delegasi ke persidangan pertama WAIPA di Hotel Shangri-la. Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Doris S Brodie (duduk lima kiri). – Bernama
Presiden ASEAN Perhimpunan Antara Parlimen (AIPA) Tan Sri Pandikar Amin Mulia (duduk enam kiri) bergambar kenangan bersama ketua-ketua delegasi ke persidangan pertama WAIPA di Hotel Shangri-la. Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Doris S Brodie (duduk lima kiri). – Bernama

“Itu tadi masa kita berbincang kita menekankan supaya anggota Parlimen AIPA kena lebih berperanan dalam menentukan kesaksamaan antara gender ini dapat kita laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam mesyuarat yang dihadiri 28 delegasi dari sembilan negara itu, WAIPA meluluskan tiga resolusi untuk dibincangkan pada peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif.

Doris berkata tiga resolusi itu ialah “Pengiktirafan Pasca-2015 Agenda Pembangunan Mengenai Kesaksamaan Gender, Menggalakkan Budaya Hormat dan Hak Wanita dan Kanak-kanak ke arah Keterangkuman dan Meningkatkan Rangka Kerja Undang-undang mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita”.

Sementara itu, Ketua Delegasi Indonesia Wiryanti Sukamdani berkata wanita seharusnya diberikan peluang sama rata untuk terlibat secara aktif dalam bidang politik khususnya melibatkan negara-negara ASEAN.

Oleh kerana itu, kita mahukan sesama negara ASEAN untuk memberikan tempat serta peluang untuk wanita berperanan dalam dunia politik dan dalam mesyuarat yang berjalan sebentar tadi, kesemua wakil delegasi mempunyai pandangan yang sama dalam memajukan wanita dalam semua konteks.

“Tidak mudah bagi wanita untuk turut serta dalam bidang politik dan sebagai contoh di Indonesia sebanyak 25 peratus anggota Parlimen Indonesia adalah wanita,” katanya.

Mesyuarat WAIPA itu berlangsung sempena Perhimpunan Agung kali ke-36 AIPA yang bermula hari ini sehingga 12 September (Sabtu).

Singapura tidak menghantar wakil ke mesyuarat kali ini berikutan republik itu sedang mengadakan pilihan rayanya.

ARTIKEL YANG SAMA