Kesal tuntutan pampasan belum terjawab

Kesal tuntutan pampasan belum terjawab

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Seorang pengusaha ternakan ayam, Hajah Sumiati binti Haji Abdul Rahman mengeluh apabila tuntutan pampasan atas kehilangan lima reban ayam untuk memberi laluan bagi projek pembangunan Lebuh raya Jerudong-Tungku Link, sejak 2010 masih tiada jawapan.

Beliau mendakwa, kawasan tempat ternakan ayamnya itu adalah kawasan untuk pertanian.

Katanya, sejak projek tersebut dijalankan, kesemua kawasan telah diambil alih oleh pihak tertentu.

“Kami pernah membuat aduan kepada Jabatan Pertanian serta menulis surat kepada kementerian, tetapi diarahkan untuk membuat tuntutan kepada Jabatan Tanah. Setelah itu, kami menerima arahan selanjutnya untuk ke Jabatan Kerja Raya kerana projek berkenaan adalah di bawah projek jalan raya,” katanya kepada Media Permata.

Menurut beliau, kali terakhir mereka menerima surat pemberitahuan mengenai ganti rugi ialah pada tahun 2014 dan sehingga kini menunggu jawapan yang belum pasti.

Ladang sayuran yang diusahakan oleh pengusaha tersebut.
Ladang sayuran yang diusahakan oleh pengusaha tersebut.

“Apa yang merisaukan kami sekarang ialah pembayaran pinjaman SME dari Bank BIBD sebanyak $90,000 bagi projek tersebut, belum dapat dijelaskan secara ansuran kerana penjualan terhenti,” tambah beliau.

Hajah Sumiati berkata, pihak kerajaan telah membayar ganti rugi ladang tanaman sayuran sebanyak $12,000 tetapi ganti rugi bagi usaha penternakan ayam belum mendapat jawapan daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkenaan akan memberi perhatian terhadap kesulitan beliau yang menanggung beban pembayaran balik pinjaman semasa memulakan perusahaan tersebut.