Kesalinghubungan keperluan bagi ASEAN

Kesalinghubungan keperluan bagi ASEAN

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Pembangunan dan perkembangan ICT bukan sahaja boleh memberikan manfaat kepada masyarakat dalam mempromosi dan menggalakkan inovasi dalam kalangan ahli komuniti serta menjadi peneraju kepada meningkatkan daya saing ekonomi tetapi perlu diingat bahawa penyalahgunaan ICT boleh membawa kepada timbulnya pelbagai isu-isu moral, sosial dan etika yang perlu ditangani.

Selain daripada isu-isu berkenaan, isu-isu baru lain yang timbul termasuk ketelusan, hak milik data serta penggunaan secara beretika di mana isu-isu berkenaan berpotensi untuk merevolusikan masyarakat terutama dalam dunia yang menjadi semakin rapat dengan benda-benda fizikal kini mula bergabung dengan infrastruktur maklumat digital.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat dalam kata alu-aluannya selaku pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN ke-16 (TELMIN ke-16), di pembukaan mesyuarat yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Dalam hubungan itu, ulasnya lagi, ruang siber yang selamat bukan sahaja akan memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada para individu tetapi juga kepada perniagaan dan sektor awam bagi mereka membuat transaksi, berkongsi idea dan berinovasi secara dalam talian (online).

“Kita telah menyaksikan bagaimana lebih banyak individu, organisasi dan juga kerajaan yang menjadi semakin terdedah kepada serangan siber dan sabotaj.”

Menteri Perhubungan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bergambar ramai bersama perwakilan ASEAN ke TELMIN 2016.
Menteri Perhubungan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bergambar ramai bersama perwakilan ASEAN ke TELMIN 2016.

Kesan daripada serangan siber itu amat besar dan walaupun penyelesaian teknikal amat penting tetapi perkara yang lebih penting untuk menangani ancaman itu adalah menerusi kerjasama dan usaha bersama, tekan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa lagi.

Menyentuh mengenai tema mesyuarat berkenaan, Connected and Innovative Community, beliau berkata bahawa tema itu adalah amat relevan dan bertepatan di mana tumpuan untuk menghubungkan penduduk serta mempromosikan kreativiti serta inovasi merupakan peneraju utama kepada pembangunan ekonomi.

Beliau juga berkata bahawa kesalinghubungan merupakan salah satu keperluan utama bagi ASEAN untuk mengurangkan jurang digital, merapatkan jurang pembangunan dan untuk bergerak lebih dekat ke arah mencapai matlamat utama penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa juga berharap Mesyuarat TELMIN ke-16 akan dapat memberikan kepimpinan yang diperlukan untuk menerajui perkembangan inisiatif-inisiatif AIM 2020 ke arah Komuniti ASEAN yang inovatif dan saling berhubungan.

Menteri Perhubungan ketika menghadiri mesyuarat TELMIN ke-16.
Menteri Perhubungan ketika menghadiri mesyuarat TELMIN ke-16.
Perwakilan dari Kemboja pada mesyuarat itu.
Perwakilan dari Kemboja pada mesyuarat itu.

Semasa mesyuarat berkenaan, menteri-menteri ASEAN yang bersidang membincangkan mengenai dengan perkembangan terkini bagi pelaksanaan Pelan Induk ASEAN 2020 dan mengangkat petunjuk prestasi utama sebagai alat untuk mengukur perkembangan Pelan Induk ICT.

Para menteri yang bersidang juga mengkaji semula projek-projek bagi kitaran kerja 2017 dan mengalu-alukan perkembangan yang dibuat terutama dalam Rangka Kerja ASEAN bagi Perlindungan Data Peribadi dan Rangka Kerja ASEAN bagi Perayauan Mudah alih Antarabangsa (International Mobile Roaming). Menteri-menteri yang bersidang juga membincangkan mengenai sekuriti siber dan mengalu-alukan perkembangan serta pembangunan dalam rangka kerja Strategi Kerjasama Sekuriti-Siber.

Mesyuarat itu juga sebulat suara menyokong Deklarasi Brunei Darussalam bagi Komuniti Inovatif Saling Berhubungan, yang antara lain mengetengahkan komitmen ASEAN untuk meningkatkan kesalinghubungan dalam ASEAN dan mempromosikan inovasi sebagai peneraju utama untuk membangunkan dan mempromosikan daya saing.

Menteri-menteri Telekomunikasi dan ICT juga mengadakan mesyuarat konsultasi dengan negara-negara rakan dialog China, Korea dan Jepun untuk mengkaji perkembangan Pelan Kerja 2016 dan menyokong Pelan Kerja 2017 yang baru dalam bidang-bidang seperti sekuriti-siber, pembangunan sumber manusia dan teknologi baru.

ARTIKEL YANG SAMA