KESAN bantu 10 keluarga

KESAN bantu 10 keluarga

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Projek amal sempena bulan Ramadan terus giat dilaksanakan di negara ini untuk membantu keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

Ahli Persatuan Kemajuan Insani (KESAN) tidak ketinggalan beramal apabila memasak dan menyiapkan juadah berbuka puasa bagi 10 buah keluarga yang berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Ahli Jawatankuasa Tertinggi KESAN, Awang Mohd Haziq ketika ditemui semasa kerja gotong-royong menyediakan juadah berbuka tersebut di Pusat Belia, menjelaskan bahawa program yang diadakan setiap tahun dan dikenali dengan ‘KESAN Memberi’ ini antara lain bertujuan untuk berkongsi kegembiraan bersama orang yang kurang berkemampuan, bersungkai dalam keadaan ceria.

Ia juga dihasratkan dapat membina hubungan di antara ahli KESAN dan berkongsi pengalaman dan pendedahan kepada belia yang menjadi sukarelawan dalam program itu.

Beliau menambah bahawa sumbangan berupa hidangan yang sudah siap dimasak kepada keluarga yang telah dikenal pasti adalah program yang julung-julung kali diadakan.

Ahli KESAN ketika menyediakan juadah untuk 10 buah keluarga.
Ahli KESAN ketika menyediakan juadah untuk 10 buah keluarga.

“Pada program kali ini, 10 buah keluarga yang dikenal pasti melalui MUIB itu adalah keluarga besar yang mana dari padajumlah tersebut, tujuh buah keluarga tertumpu di Kampong Ayer manakala tiga buah keluarga lagi di Kampung Sungai Besar.

“Beberapa orang sukarelawan turut membantu daripada menerima barangan memasak sehinggalah kerja-kerja pengagihan juadah,” tambahnya.

Program ‘KESAN Memberi’ ini mula diadakan sejak tahun 2013 dengan mengadakan beberapa aktiviti berkebajikan antaranya seperti bantuan peralatan persekolahan bagi murid-murid yang memerlukan, pengagihan ibadah korban kepada orang yang memerlukan yang mana merupakan aktiviti tahunan KESAN.

ARTIKEL YANG SAMA