Kesan Brexit terhadap ekonomi Asia Pasifik terhad

Kesan Brexit terhadap ekonomi Asia Pasifik terhad

SINGAPURA, 28 Jun (Bernama) – Kesan langsung ke atas ekonomi Asia Pasifik daripada keputusan United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (Brexit) dijangka terhad berikutan hubungan yang berkaitan adalah lemah, menurut S&P Global Ratings dalam laporan yang dikeluarkan hari ini bertajuk “Brexit Impact On Asia-Pacific Is Largely Credit Neutral.”

“Sama ada kita mendapat sebarang kesan sebenar daripada Brexit bergantung kepada beberapa perkara. Pertama, berapa lama ketidaktentuan pasaran berlarutan dan sama ada ia mula melimpah kepada ekonomi sebenar.

“Dan kedua, sama ada kita mendapat sebarang kesan dari segi politik, termasuk undian keluar/masuk EU, daripada pasaran Eropah yang lain,” kata Ketua Ekonomi Asia Pasifik S&P Global Ratings Paul Gruenwald dalam kenyataan di sini.

S&P berkata Brexit dijangka mencabar tetapi dijangka tidak mempunyai kesan penarafan negatif jangka masa terdekat yang meluas bagi bank-bank Asia Pasifik tempatan dan institusi kewangan lain.

Ia masih awal, walaupun, sebagai kesan geopolitik daripada Brexit belum berlaku sepenuhnya.

Pendedahan langsung ke atas kebanyakan institusi kewangan Asia Pasifik kepada UK kelihatan terurus pada paras penarafan semasa.

Pada umumnya, portfolio syarikat yang diberi penarafan S&P Global Ratings di Asia Pasifik mempunyai pendedahan yang terhad kepada pasaran UK.

Bagi gred spekulatif ‘BB+’ atau penerbit korporat rendah China, tempoh matang bon dolar AS kelihatan terurus disebabkan pembiayaan semula mereka yang proaktif.

“Status yen Jepun sebagai mata wang selamat boleh meningkatkan nilainya, yang dijangka mempunyai kesan negatif langsung ke atas keseluruhan pendapatan syarikat dengan pendedahan eksport bersih,” kata Penganalisis Kredit S&P Global Ratings Terry Chan.

S&P melihat kesan yang terhad ke atas sokongan kredit negara bagi kebanyakan negara-negara Asia Pasifik sejurus selepas keputusan undian British.

Ia tidak menjangka Brexit akan memberi kesan kepada penarafan ke atas transaksi kewangan berstruktur Asia Pasifik.

Pengangguran merupakan pemacu utama kepada kerugian dalam transaksi kewangan berstruktur dan sebarang kesan langsung daripada Brexit ke atas keadaan pekerjaan di negara-negara Asia Pasifik dijangka terhad dalam masa terdekat, katanya.

“Kesan pasaran Brexit dijangka ketara dalam tempoh terdekat, terutamanya dari segi pasaran saham dan turun naik mata wang,” kata Chan.

“Kesan jangka sederhana ke atas pasaran Asia Pasifik, bagaimanapun, dijangka terhad berikutan pelabur membuat keputusan lebih berdasarkan kepada asas ekonomidan kewangan bukan hanya sentimen.

“Jika ketidaktentuan pasaran berpanjangan, kami percaya pengawal selia Asia Pasifik dijangka mengambil tindakan, termasuk melanjutkan mudah tunai jangka pendek,” katanya.