Kesan ‘tail-end’ Taufan Sarika

Kesan ‘tail-end’ Taufan Sarika

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangka sedikit sebanyak terjejas disebabkan oleh kesan secara tidak langsung atau kesan “tail-end” dari putaran dan trek Taufan Sarika yang diramal bergerak melintasi Filipina pada lewat malam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di sini, pada 15 Oktober, Taufan Sarika berada di lokasi 14.3°N 124.4°E, di timur Filipina, bergerak menuju ke Barat Laut dengan kelajuan 24 kmsj berserta angin kencang selaju 300 kmsj berdekatan pusat. Taufan tersebut dijangka terus bergerak menuju Barat ke Barat Laut, seperti yang diramalkan oleh Pusat Amaran Taufan Bersama Hawai, USA.

Kesan tidak langsung taufan tersebut dijangka akan menyebabkan negara ini mengalami kejadian hujan dan hujan berpetir sekali-sekala, berserta angin ribut, dengan kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40 kmsj, terutama di kawasan laut. Keadaan ombak di perairan Brunei juga dijangka boleh meningkat dari paras sederhana hingga bergelora sehingga 2.5 m, terutama di kawasan lepas pantai.

Imej Infrared dari Satelit Cuaca Himawari-8 Agensi Kajicuaca Jepun (JMA) pada 15 Oktober 2016.
Imej Infrared dari Satelit Cuaca Himawari-8 Agensi Kajicuaca Jepun (JMA) pada 15 Oktober 2016.

Sehubungan itu, orang ramai terutama pemandu-pemandu di jalan raya dan para nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif yang dijangka akan menjejaskan negara.

Pihak jabatan akan terus memantau perkembangan dan trek Taufan Sarika dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Orang ramai boleh mendapat maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau menghubungi pegawai peramal kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

ARTIKEL YANG SAMA