Kesatuan Afrika bawa pulang penghijrah

DAKAR, 6 Dis – Kesatuan Afrika (AU) dan negara-negara ahli akan menghantar pulang lebih daripada 15,000 penghijrah yang terkandas di Libya hujung tahun ini berikutan timbulnya kemarahan terhadap rakaman video yang menunjukkan para penghijrah dilelong sebagai hamba, beritahu timbalan pengerusi AU, semalam.

Dianggarkan 400,000 hingga 700,000 penghijrah Afrika di berpuluh-puluh kem pelarian di seluruh Libya, telah menghadapi isu kemanusiaan, pengerusi Suruhanjaya AU, Moussa Faki Mahamat memberitahu semasa kemuncak AU dan pemimpin Afrika minggu lepas.

Organisasi Antarabangsa bagi Penghijrah mengatakan lebih daripada 423,000 penghijrah telah dikenali pasti di negara bergolak Afrika Utara itu, kebanyakan mereka datang dari negara-negara miskin di seluruh sub-Sahara Afrika.

Perhambaan moden di Libya telah mendapat perhatian antarabangsa setelah agensi berita CNN menyiarkan rakaman video yang menunjukkan para penghijrah dilelong dengan harga serendah AS$400. Beribu-ribu penghijrah membuat perjalanan mereka ke Libya dengan harapan untuk mencapai ke Eropah melalui Mediterranean, yang sering berdepan penindasan dan layanan tidak berperikemanusiaan oleh para penyeludup.

Warga Nigeria dilihat keluar dari pesawat setelah dibawa pulang dari Libya di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Lagos, semalam.

Seorang warga Nigeria yang kembali telah memberitahu The Associated Press tentang pengalamannya. “Saya telah membayar 500,000 naira (AS$1,600) kepada seorang warga Nigeria yang dikenali dengan Mr. Fix pada 2016 untuk memudahkan perjalanan menuju ke Eropah melalui Laut Mediterannean di Libya. Tetapi setibanya kami di Libya, dia telah meninggalkan kami secara bersendirian,” beritahu lelaki itu tanpa mendedahkan identitinya atas sebab keselamatan.

Menurutnya lagi, dia dan yang lain telah ditahan oleh ahli militia Libya dan dikurung dalam penjara di mana mereka dianiaya dan dibiarkan kebuluran. Lebih daripada 10 warga Nigeria, termasuklah beberapa orang perempuan, ditangkap dan dijual sebagai hamba. Dia beruntung kerana berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan, katanya yang pulang pada Julai lalu.

Lelaki itu merupakan sebahagian daripada 5,000 warga Nigeria yang kembali dari Libya sejak dua tahun lepas, menurut Abike Dabiri-Erewa, pembantu kanan khas presiden Nigeria bagi diaspora dan hal-ehwal luar negara. Sementara itu, seramai 250 warga Nigeria dalam perjalanan pulang dari Libya semalam, beritahu pegawai kerajaan. – AP