Kesatuan media gesa henti ‘sebat’ wartawan

Kesatuan media gesa henti ‘sebat’ wartawan

MONROVIA, 28 Ogos – Kesatuan media Liberia semalam menggesa polis supaya menghentikan tindakan ”menyebat” wartawan, sambil mengutuk peningkatan keganasan ke atas anggota media di negara Afrika barat tersebut.

Seminggu lepas, seorang wartawan lelaki dan wanita dipukul oleh anggota keselamatan negara dengan belantan ketika mereka membuat liputan demonstrasi oleh sekumpulan guru di luar pejabat presiden, menurut saksi yang juga merupakan wartawan AFP.

“Wartawan bukan untuk sasaran sebatan, keganasan yang semakin meningkat ke atas wartawan adalah rancangan untuk menindas dan mengganggu kebebasan media,” kata Kesatuan Media Liberia dalam satu kenyataan.

Jallah Greyfield, pemangku presiden kesatuan itu memberitahu AFP mengenai satu insiden lain ketika sidang media di balai polis di bandar Kakata di barat Liberia, di mana para wartawan diperlakukan dengan kejam kerana mengemukakan soalan yang tidak disukai oleh pegawai.

“Kami menerima banyak aduan daripada wartawan mengenai keganasan polis hampir setiap hari sejak berbulan-bulan lepas,” kata Greyfield. – AFP