Kesedaran imunisasi penting

Kesedaran imunisasi penting

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Negara Brunei Darussalam terus menerima ancaman penyakit-penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin namun hasil program imunisasi mantap dan percuma serta selamat, semua lapisan masyarakat bermula daripada kecil lagi di negara ini dilindungi daripada pelbagai penyakit berbahaya.

Kementerian Kesihatan sempena meraikan Minggu Imunisasi Serantau 2016 bermula 24 hingga 30 April dengan tema ‘Vaksinasi adalah Tanggungjawab Semua, Lindungi Masyarakat Awda. Berimunisasi Sepanjang Hidup’, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan kanak-kanak tidak divaksinasi adalah 23 kali lebih terdedah kepada penyakit berbahaya seperti penyakit batuk kering pertusis berbanding kanak-kanak yang menerima vaksinasi sepenuhnya.

Menurut kenyataan itu lagi, antara penyakit lain yang turut memerlukan vaksinasi ialah penyakit campak yang boleh menyebabkan radang paru-paru, sawan, kerosakan otak dan kematian, manakala penyakit beguk boleh menyebabkan pekak dan meningitis.

Di negara ini, penyakit seumpamanya boleh dicegah melalui vaksin termasuk Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan berusia antara 0 hingga 5 tahun dan Program Vaksinasi Human Papilloma Virus di sekolah-sekolah yang ditawarkan percuma oleh kerajaan.

MoH_M

Sempena Minggu Imunisasi Serantau itu juga, Kementerian Kesihatan juga berusaha meningkatkan kesedaran penyakit perlu dicegah melalui imunisasi ini dan menggalakkan setiap individu, keluarga dan masyarakat mendapatkan vaksin.

Ini bertepatan dengan strategi kementerian untuk menerapkan kesedaran bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua, mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit dan memberi perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan dan pensejajaran perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu, imunisasi penting pada setiap peringkat kehidupan yang mana pencegahan penyakit melalui vaksin bermula sebelum anak damit dilahirkan lagi. Vaksin tetanus dan influenza diberikan dalam kalangan wanita hamil untuk melindungi ibu dan anak damit daripada penyakit.

Manakala ketika lahir anak damit diberikan vaksin Hepatitis B dan BCG sebagai langkah pertama imunisasi terhadap penyakit berjangkit.  Dan sepanjang kehidupan kanak-kanak, mereka mendapat imunisasi melalui Program Imunisasi Kebangsaan.

Program itu telah mencapai liputan tinggi mencecah 100 peratus setiap tahun dan negara ini disahkan berjaya mencapai kawalan jangkitan Hepatitis B pada tahun 2013 dan disahkan bebas daripada jangkitan campak pada Mac 2015, manakala kes terakhir polio di sini adalah pada tahun 1978.

Meskipun mencapai kejayaan besar itu, negara tidak boleh leka, kerana penyakit-penyakit yang memerlukan vaksin ini boleh kembali. Batuk kering pertusis, campak dan beguk masih berkembang di negara-negara lain dan ianya boleh menjangkiti kanak-kanak yang tidak dilindungi dengan semudah menaiki kapal terbang sahaja.

Untuk itu, kementerian akan terus berwaspada dan menyeru orang ramai untuk memastikan mereka dan anak-anak dilindungi sentiasa.

Melalui program vaksin kedua kerajaan, Program Vaksinasi Human Papilloma Virus, orang ramai dilindungi daripada penyakit-penyakit serius seperti kanser serviks atau pangkal rahim.

Program ini diperkenalkan di sekolah-sekolah pada tahun 2012 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi kanak-kanak berumur 11-12 tahun dan menunjukkan liputan melebihi 90 peratus.

Pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetis atau penyakit jantung mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan penyakit jika dibandingkan dengan orang lain.

Oleh itu, mereka sangat disyorkan untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza setiap tahun. Vaksin ini boleh diperolehi di semua pusat-pusat kesihatan di seluruh negara dan di pusat vaksinasi.

Namun perlu diingatkan bahawa penyakit-penyakit merebak lebih cepat dalam masyarakat yang tidak diberikan vaksinasi. Lebih ramai orang yang divaksinasi, maka kemungkinan jangkitan daripada seorang ke seorang akan berkurangan. Ini dipanggil imuniti secara ‘kumpulan (herd)’.

Inilah sebabnya mengapa mengvaksinasi diri dan anak melindungi bukan sahaja individu yang diberikan vaksin, tetapi semua yang lain, termasuk mereka yang terlalu muda atau tidak dapat diberikan vaksinasi.

Anak damit yang baru lahir iaitu masih terlalu muda untuk suntikan adalah lebih terdedah kepada penyakit dan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat komplikasi serius jika dijangkiti. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mendapatkan vaksin bagi diri dan anak-anak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA