Kesedaran integrasi masyarakat

Kesedaran integrasi masyarakat

Oleh Hamdanajib Haji Domeng

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Ahli-ahli pengakap yang berkeperluan khas dari Pusat Bahagia, baru-baru ini, telah menyertai Perkhemahan Mobiliti Orang Berkeperluan Khas (OBK), yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Perkhemahan selama tiga hari itu telah disertai seramai 58 pengakap, yang terdiri daripada penuntut-penuntut Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, SM Sayyidina Hassan, SM Sayyidina Abu Bakar, SM Masin dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien serta 10 orang pelatih dari Pusat Bahagia Brunei Muara.

Perkhemahan berkenaan diakhiri dengan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Awang Abdul Rahman bin Apong selaku tetamu kehormat majlis penutup berkenaan.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Haji Mohammed Zali bin Haji Arshad; Yang Dipertua Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara, Pengiran Mahdi bin Pengiran Haji Mohd Salleh; pegawai-pegawai kanan JAPEM serta pesuruhjaya-pesuruhjaya Ibu Pejabat PPNBD.

Ahli-ahli pengakap yang menyertai perkhemahan tersebut.
Ahli-ahli pengakap yang menyertai perkhemahan tersebut.

Perkhemahan yang diadakan oleh Pasukan Pengakap Bahagia 1025, Pusat Bahagia Brunei Muara, JAPEM dengan kerjasama Bahagian Pengakap Berkeperluan Khas, PPNBD itu, bertujuan untuk mempamerkan dan mengetengahkan aktiviti yang bersifat inklusif di antara pengakap-pengakap OBK bersama pengakap biasa.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai integrasi masyarakat dengan memberikan latihan serta tunjuk ajar kepada para pengakap mengenai cara bagaimana mengendali dan membantu warga OBK dalam berinteraksi serta bersosial secara langsung seperti bahasa isyarat, mobiliti tongkat putih dan kerusi roda sekali gus melahirkan sikap yang bebas sempadan bersama ahli pengakap OBK.

ARTIKEL YANG SAMA