Kesedaran kesihatan mental

Kesedaran kesihatan mental

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Okt – Bagi meningkatkan kesedaran dan juga mendidik orang ramai mengenai kesihatan mental, satu pameran telah diadakan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2016 yang diadakan di kawasan lobi Pusat Beli Belah KBSentral, di sini, hari ini.

Hari Kesihatan Mental Sedunia 2016 bertema ‘Kesedaran Kesihatan Mental–Bantuan Pertama Psikologi dan Kesihatan Mental Untuk Semua’ diraikan di negara ini pada tahun ini dengan objektif utama meningkatkan kesedaran orang ramai terutama mengenai Bantuan Pertama Psikologi dan Bantuan Pertama Kesihatan Mental.

Di samping itu, ia turut dihasratkan dapat mengurangkan stigma yang dikaitkan dengan kesihatan mental dan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Selain itu, ia juga memberikan satu platform yang selamat bagi orang ramai untuk mendapatkan penjagaan kesihatan mental di samping mempromosikan perkhidmatan kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam.

Acara Hari Kesihatan Mental Sedunia 2016, turut menyediakan aktiviti-aktiviti kanak-kanak.
Acara Hari Kesihatan Mental Sedunia 2016, turut menyediakan aktiviti-aktiviti kanak-kanak.

Pameran yang menyasarkan para pakar dan orang awam itu membolehkan mereka menggunakan kemahiran Bantuan Pertama Psikologi dan Bantuan Pertama Kesihatan Mental dalam membantu mereka yang memerlukan.

Melalui pameran itu juga, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat yang berguna tentang bagaimana penggunaan bantuan tersebut melalui langkah tindakan iaitu ‘Lihat, Dengar dan Sumbangkan’.

Acara tersebut juga diadakan bagi mengetengahkan pendidikan, pemahaman, tindak balas dan resolusi.

Sepanjang pameran tersebut diadakan beberapa aktiviti turut diadakan termasuk pameran poster, pemberian risalah, tayangan video testimoni, demonstrasi kerja seni daripada Terapi Cara Kerja Psikiatri dan orang ramai juga turut berpeluang untuk bertemu pakar kesihatan mental, selain aktiviti-aktiviti lainnya termasuk Bantuan Pertama Psikologi dan sesi bergambar dan aktiviti kanak-kanak.

ARTIKEL YANG SAMA