Kesedaran makanan sihat meningkat

Kesedaran makanan sihat meningkat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Pendekatan Pusat Promosi Kesihatan mengadakan pelbagai kempen, ceramah serta lawatan ke pusat membeli-belah melalui kempen kesedaran membuahkan hasil positif dan sedikit sebanyak mendorong orang ramai memilih makanan sihat dalam amalan seharian mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said semasa berucap melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Kesihatan anjuran bersama Gedung Membeli-belah Hua Ho Manggis dan Kementerian Kesihatan di premis perniagaan itu hari ini.

Menurutnya, pendekatan yang diambil melalui ceramah dan lawatan sambil belajar bersama pelanggan di pasar raya membolehkan mereka mengetahui tatacara membaca label pemakanan dan mengenal pasti makanan yang lebih sihat melalui tanda beberapa jenis logo pilihan yang sihat dicetak pada bungkusan makanan berkenan.

Usaha mempromosi pilihan makanan sihat dan mewujudkan persekitaran kondusif di pasar raya ini sememangnya mengambil masa dan memerlukan usaha-usaha yang dedikasi, mantap dan berterusan daripada kedua-dua belah pihak, tambahnya.

Beliau turut menyeru semua yang terlibat dalam menjayakan program ini agar terus berusaha dengan gigih dan berharap program ini dapat dikekalkan dan akan membuahkan hasil yang berkesan serta menepati matlamatnya.

Dr Hajah Rahmah melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Kesihatan di Gedung Membeli-belah Hua Ho.
Dr Hajah Rahmah melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Kesihatan di Gedung Membeli-belah Hua Ho.

Tambahnya, selepas kurang enam bulan Program Pasar Raya Sihat dilancarkan, satu kaji selidik bertujuan menilai keberkesanan program berkenaan telah dijalankan khususnya untuk menilai perubahan tahap kesedaran dan pengetahuan pelanggan terhadap pilihan makanan sihat. Seramai 122 pelanggan telah menyertai kaji selidik ini secara sukarela di pasar raya berkenaan.

Secara amnya, hasil dapatan kaji selidik tersebut mendapati tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai pilihan makanan sihat dalam kalangan pelanggan telah meningkat enam bulan selepas program pertama dilancarkan. Kadar kaji selidik mengenali logo pilihan makanan lebih sihat meningkat sebanyak 18 peratus iaitu dari 59 peratus kepada 77 peratus.

Kaji selidik tersebut mendapati bahawa lebih 52 peratus pelanggan pernah melihat rak produk makanan sihat dan semua pelanggan yang pernah melihat rak produk makanan telah membeli produk makanan dari rak berkenaan. Maklumat tersebut juga menekankan pentingnya strategi untuk mewujudkan rak bagi menempatkan pilihan makanan sihat bagi memudahkan dan mencenderungkan pelanggan membuat pilihan.

Dr Hajah Rahmah menambah lagi, program seumpama ini, yang sememangnya mempromosi pilihan makanan sihat, tidak dapat dibuat secara singkat malah ia memerlukan komitmen dan dedikasi yang berterusan serta usaha sepadu semua pihak yang berkepentingan terutama pihak Kementerian kesihatan dan pihak pengurusan pasar raya.

Bulan Kesedaran Kesihatan Hua Ho bertemakan Beli Sihat, Hidup Sihat ini , antara lain akan memuatkan pelbagai aktiviti dan sesi yang menarik untuk orang ramai termasuk pameran pilihan makanan lebih sihat, sesi mencuba makanan dan minuman sihat, permainan, kuiz, sesi senamrobik, lawatan sambil belajar ke pasar raya, pemeriksaan kesihatan percuma dan Pertandingan Masakan Sihat Tefal.

Kempen berkenaan bermula hari ini sehingga 27 September 2015. Orang ramai yang ingin menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan bolehlah mengunjungi Gedung Membeli-belah Hua Ho Manggis.

ARTIKEL YANG SAMA