Kesedaran satu padu antara kaum

Kesedaran satu padu antara kaum

TAWAU, 27 Ogos (Bernama) – Generasi muda perlu menyedari kepentingan bersatu padu dan saling menghormati serta tidak memperkecilkan bangsa lain dalam usaha mengekalkan keamanan dan perpaduan yang dikecapi selama ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata generasi muda perlu meraih perbezaan pelbagai kaum dan agama yang terdapat di negara ini serta berusaha menerima perbezaan yang wujud antara satu sama lain.

“Jangan sesekali kita memperkecil rakan kita yang berbeza suku kerana adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus mengekalkan apa yang dinikmati ini, terus diwarisi pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Program ‘Talk On History Of Tawau To The Youth’ di sini, hari ini sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

Mengulas mengenai program itu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berkata ia penting agar generasi muda dapat mengetahui bertapa pentingnya bersatu padu dan memupuk semangat kemerdekaan dalam diri.

“Kekuatan perpaduan yang kita ada sekarang ini adalah hasil daripada sikap hormat menghormati antara kaum dan ini memperlihatkan bahawa sememangnya kita sehati dan sejiwa sejak dahulu lagi,” katanya.