Kesedaran sivik menerusi platform hiburan

Kesedaran sivik menerusi platform hiburan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Persembahan PENTARAMA anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan memulakan acara di Pentas Perayaan berhadapan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja Brunei, di sini, malam tadi.

Persembahan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun bagi Daerah Brunei Muara itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat semasa, mendidik dan memberikan kesedaran sivik kepada masyarakat melalui platform hiburan terpimpin.

PENTARAMA merupakan salah satu pendekatan komunikasi untuk memberikan kesan positif ke arah satu pembentukan kesedaran bermasyarakat.

Ia juga merupakan salah satu saluran penyampaian maklumat melalui gerak laku, sketsa drama dengan memberikan penekanan terhadap hal ehwal semasa dan sebagai alat untuk menyalurkan mesej kenegaraan, dan pendidikan kepada masyarakat melalui hiburan serta menyuntik moral yang positif bagi menyokong dan menggalakkan orang awam ke arah meningkatkan semangat patriotik, bernegara, bermasyarakat dan berkerajaan.

Antara adegan menyayat hati sketsa drama Nakhoda Manis.
Antara adegan menyayat hati sketsa drama Nakhoda Manis.
Antara para jemputan khas yang menyaksikan PENTARAMA.
Antara para jemputan khas yang menyaksikan PENTARAMA.
Awang Arrifen ketika mempersembahkan nyanyiannya di Pentas Perayaan.
Awang Arrifen ketika mempersembahkan nyanyiannya di Pentas Perayaan.

PENTARAMA juga diisikan dengan lawak jenaka dan para penonton juga dijemput untuk menjawab kuiz-kuiz yang telah disediakan.

Persembahan itu akan diteruskan lagi di Pentas Perayaan, Pekan Bangar, Daerah Temburong pada 22 Ogos, di Daerah Tutong pada 26 Ogos di Pentas Perayaan Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan di Pentas Perayaan, Gerai Tudung Saji, Daerah Belait pada 29 Ogos 2015.

Orang ramai dialu-alukan untuk datang menyaksikan PENTARAMA bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menyemarakkan lagi suasana malam perayaan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA