Kesedaran terhadap penyakit mental

Kesedaran terhadap penyakit mental

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 22 Okt – Dalam purata nisbah satu dalam empat orang boleh mengalami masalah kesihatan mental sepanjang hidup mereka dan ia sering berlaku antaranya kerana kemurungan (depression) dan keresahan (anxiety disorder).

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 450 juta orang mengalami masalah kesihatan mental yang mana ini menunjukkan salah satu bebanan penyakit tidak berjangkit yang tinggi di peringkat global.

Statistik ini dikongsikan oleh Konsultan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri, Dr. Hilda Ho semasa Forum Kesihatan Mental bertajuk ‘Maruah dan Kesihatan Mental’ yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa forum itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Forum tersebut telah mengundang empat panel yang dipengerusikan Dayang Nur Syahmun.
Forum tersebut telah mengundang empat panel yang dipengerusikan Dayang Nur Syahmun.

Dr. Hilda seterusnya menjelaskan bahawa, mereka yang mempunyai kecelaruan mental merupakan golongan yang paling mudah terdedah kepada isu-isu sosial yang negatif dan sering disisihkan masyarakat.

Oleh itu, bagi menangani kes-kes kesihatan mental ini, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Psikiatri telah memperkenalkan perundangan baru iaitu Perintah Kesihatan Mental 2014 (Mental Health Order) yang telah mula berkuatkuasa pada 1 November 2014 bagi menggantikan akta yang lama.

Adapun tujuan perundangan baru ini, jelas beliau, adalah untuk memberikan perlindungan kepada pesakit-pesakit kesihatan mental dan menggariskan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dalam pengurusan penjagaan dan perawatan yang komprehensif, holistik dan sistematik.

Selain Dr. Hilda, forum berkenaan turut menampilkan empat panel undangan lain iaitu Jururawat Perkhidmatan Komuniti Psikiatri, Haji Amir bin Haji Ismail; Juru Pulih Cara Kerja dari Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Nurhamizah binti Haji Awang dan salah seorang penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Adi Zaki bin Haji Metassan serta dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Psikologi Masyarakat, Dayang Nur Syahmun binti Haji Matassan.

Forum berkenaan merupakan kesinambungan kepada usaha-usaha Perkhidmatan Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan untuk menyebarluaskan lagi maklumat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan orang ramai tentang isu-isu yang berkaitan dengan mereka yang menghadapi masalah kecelaruan mental.

Dengan tema ‘Maruah Dalam Kesihatan Mental’, forum kali ini merangkumi isu-isu yang berkaitan dengan pemedulian orang-orang yang mempunyai kecelaruan mental seperti isu diskriminasi atau stigma serta tanggapan negatif terhadap penyakit mental.

Semasa menyampaikan ucapannya, Awang Wardi berkata kesan stigma boleh mengakibatkan penurunan kualiti hidup yang ketara, antaranya menyebabkan pengangguran, sokongan sosial yang lemah dan kurangnya harga diri.

Oleh itu, pesakit yang merasa diri mereka tidak diterima masyarakat akan lebih berkemungkinan untuk tidak mendapatkan rawatan sekali gus menjadi lemah semangat, mengasingkan diri dan menolak daripada mendapat rawatan serta bantuan, tambah beliau.

Dengan adanya forum ini, ia akan memberikan kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai khususnya mereka yang berada di Daerah Tutong mengenai isu-isu yang berkaitan dengan penjagaan dan pemedulian orang yang mempunyai kecelaruan mental.

Di samping forum perbincangan, acara turut menyaksikan pameran-pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan jualan amal kraf tangan yang dihasilkan oleh pesakit-pesakit yang mengikuti program pemulihan cara kerja.

ARTIKEL YANG SAMA