Kesedaran terhadap takaful dan insurans perlu ditingkatkan

Kesedaran terhadap takaful dan insurans perlu ditingkatkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Globalisasi telah mendedahkan dunia kepada pelbagai bentuk risiko seperti demografi dinamik, kekurangan bekalan sumber, perubahan iklim, dan teknologi dan inovasi yang boleh menyebabkan kerugian besar ke atas ekonomi global.

Dalam hal ini, takaful dan insurans memainkan peranan dalam memberikan perlindungan khusus, dalam bentuk insurans siber, insurans pandemik serta insurans risiko bencana.

Ini dinyatakan oleh Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman semasa berucap merasmikan Hari Insurans dan Takaful 2016 yang berlangsung di Ruang Atrium, Airport Mall, pagi ini.

Dalam ucapannya itu, beliau melahirkan kepercayaan bahawa industri insurans mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat.

“Tatkala risiko-risiko baru muncul, penyedia takaful dan insurans akan dapat bertindak balas dengan cepat untuk menyediakan pengguna dengan perlindungan yang sesuai dan mencukupi dari segi inovasi produk dan perkhidmatan.”

Awang Yusof memotong reben sebagai merasmikan Hari Insurans dan Takaful 2016, sambil diperhatikan oleh Haji Osman, kelmarin
Awang Yusof memotong reben sebagai merasmikan Hari Insurans dan Takaful 2016, sambil diperhatikan oleh Haji Osman, kelmarin
Awang Yusof bergambar ramai.
Awang Yusof bergambar ramai.

Beliau berkata, permintaan untuk insurans dan takaful juga haruslah terus dipupuk menerusi program-program kesedaran berterusan seperti Hari Insurans dan Takaful 2016 berkenaan.

Katanya, para pengguna mestilah diberi kesedaran mengenai keupayaan industri untuk memberikan perlindungan kewangan untuk orang-orang kesayangan, harta, aset dan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan syarikat-syarikat takaful dan insurans tempatan untuk mengambil kesempatan ke atas perkembangan teknologi kini dan bermatlamat untuk berkembang kepada skala lebih besar dengan meneroka prospek perniagaan yang luas di luar Brunei Darussalam.

Dengan meningkat produktiviti industri dan meletakkan pemain-pemain tempatan di pasaran-pasaran antarabangsa dan serantau, beliau percaya bahawa industri ini akan dapat membuat sumbangan besar kepada matlamat negara untuk mempelbagaikan ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan tinggi.

Pada majlis hari ini, Awang Yusof turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan esei dengan topik ‘Securing Our Future with Insurance and Takaful’ anjuran Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA).

Johan pertandingan esei BITA,  Stephanie Ng Wei Fong menerima hadiah daripada Awang Yusof.
Johan pertandingan esei BITA, Stephanie Ng Wei Fong menerima hadiah daripada Awang Yusof.
Pemenang kedua, Audrey Yong Ern Hui menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
Pemenang kedua, Audrey Yong Ern Hui menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
Nur Amalina @ Rusydinah muncul sebagai pemenang ketiga pertandingan esei BITA.
Nur Amalina @ Rusydinah muncul sebagai pemenang ketiga pertandingan esei BITA.

Menjuarai pertandingan itu dan membawa pulang hadiah wang tunai $3,000 ialah Stephanie Ng Wei Fong, diikuti oleh Audrey Yong Ern Hui di tempat kedua dan Dayang Nur Amalina @ Rusydinah binti Haji Mohd Yakub di tempat ketiga dengan masing-masing memenangi wang tunai $2,000 dan $1,000.

Terdahulu Pengerusi BITA, Haji Osman bin Haji Mohd Jair dalam ucapannya memberitahu bahawa pertandingan esei berkenaan telah diadakan pada Mac lalu dan berakhir pada 30 Jun yang lalu.

Hari Takaful dan Insurans 2016 yang membawa tema ‘Securing Brunei Drussalam Future with Insurance and Takaful’ itu bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai dengan industri insurans dan takaful.

Di majlis itu juga, beberapa pameran turut diadakan yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai sehingga 6 petang. Pameran berkenaan telah disertai oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Pusat Promosi Kesihatan dari Kementerian Kesihatan dan Pusat Pendermaan Darah.

ARTIKEL YANG SAMA