Kesedaran urus harta peribadi

Kesedaran urus harta peribadi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Forum Perdana Ekonomi Islam 2016 menjadi platform penting kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan institusi pengajian tinggi lain di negara ini untuk sama-sama membincangkan isu pembinaan daya tahan, pembangunan dan pemerkasaan para belia dan dalam kalangan masyarakat Islam.

Sejajar dengan senario ekonomi global yang terjejas oleh kejatuhan harga minyak global, forum yang berlangsung di Auditorium UNISSA, Gadong, itu dilihat sangat signifikan untuk dijadikan medium langsung bagi penyampai maklumat mengupas isu-isu semasa, memberi peringatan dan melontarkan idea bernas bagi menangani isu yang dihadapi.

Saranan itu dibuat oleh Dekan Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani ketika menyampaikan kata alu-aluan pada Majlis Forum Perdana Ekonomi Islam 2016, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom  ketika menghadiri Forum Perdana Ekonomi Islam 2016.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri Forum Perdana Ekonomi Islam 2016.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman dan Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Dr. Abdul Nasir berkata, objektif yang hendak dicapai melalui forum perdana itu adalah untuk menambah ilmu pengetahuan dan pemahaman semua peserta mengenai konsep harta, konsep istikhlaf dan kewajipan mengurus harta menurut pandangan Islam.

Selain itu, matlamatnya juga adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang mudarat pembaziran harta dan untuk mencambahkan pemikiran semua peserta tentang tatacara pengurusan harta peribadi yang terbaik menurut pandangan Islam.

Beliau juga menjelaskan, bermula Februari 2015, UNISSA telah menghantar tiga tenaga akademiknya dari Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan UNISSA untuk menjalani penyelidikan berkolaborasi dengan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (ISDEV USM) mengenai Aplikasi Istibdal Wakaf dalam Pembangunan: Kajian Perbandingan Antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang akan membawa kepada penerbitan buku mengenainya.

Katanya, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan juga telah lama menjalin hubungan kerjasama dengan International Sharia Research Academy (ISRA) Consultancy yang membawa kepada penandatanganan memorandum persefahaman sebagai mengukuhkan lagi kesediaan kedua-dua pihak memantapkan lagi hubungan kerjasama dalam arena akademik dan penyelidikan.

Forum itu mengundang beberapa orang ahli panel, iaitu Penyelidik Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Consultancy, Profesor Dr. Ashraf bin Mohd Hashim, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV USM), Profesor Dr. Zakaria bin Bahari dan Pensyarah Kanan FPSP UNISSA, Dr. Hajah Rose binti Abdullah.

ARTIKEL YANG SAMA