Kesedaran urus kewangan

Kesedaran urus kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Lebih 100 kakitangan kerajaan telah menghadiri ceramah perancangan kewangan yang dikendalikan buat kali kedua tahun ini oleh pasukan Pengurusan Harta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, hari ini.

Menurut kenyataan BIBD, majlis ceramah berkenaan merupakan sebahagian daripada matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai faedah pengurusan kewangan yang lebih baik dan pada masa yang sama, mengetengahkan kepentingan meningkatkan kesedaran celik kewangan di negara ini.

Ia juga dikendalikan bagi mendukung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada 15 Julai 2006, mengenai penjimatan menerusi perancangan kewangan bagi keperluan masa depan.

Ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Unit Pengurusan Harta dan Perancangan Kewangan Islam BIBD, Dayang Rozielawati binti Haji Jamil, yang antara lain menekankan keperluan untuk mempunyai dan komited kepada matlamat kewangan menerusi pengurusan kewangan yang betul.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa terdapat pelbagai disiplin dan komitmen di beberapa peringkat kehidupan yang berlainan bagi setiap individu, termasuk awal pekerjaan, perkahwinan, mempunyai anak dan persaraan.

Antara kakitangan kerajaan yang menghadiri ceramah tersebut.
Antara kakitangan kerajaan yang menghadiri ceramah tersebut.

Kemudian, beliau turut menyentuh mengenai pemahaman pelbagai corak perbelanjaan dan keperluan, mengetengahkan perbezaan di antara keperluan dan kemahuan, di samping kelebihan menyimpan terlebih dahulu sebelum membelanjakan gaji.

Beliau juga merujuk kepada lima psikologi perbelanjaan yang dikongsikan oleh konsultan kewangan dari Malaysia, Carol Yip, iaitu komitmen, emosi, tidak rasional, kelakuan dan pengaruh.

Di majlis itu, para peserta juga dijelaskan mengenai bagaimana menguruskan hutang mereka dan bersedia bagi perkara-perkara yang tidak dijangkakan dengan mempunyai dana kecemasan.

Dayang Rozielawati turut mengongsikan mengenai kepentingan mempunyai takaful/insurans untuk menyokong mana-mana risiko kewangan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kepada para peserta mengenai perancangan kewangan dari perspektif Islam, yang termasuk Zakat dan pembahagian harta seperti Wassiyah, Hibah, Amanah dan Wakaf.

Ceramah diakhiri dengan sesi soal jawab di samping sesi nasihat dengan pegawai BIBD bagi membolehkan peserta mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai keperluan kewangan mereka.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aitiviti-aktiviti di bawah Pengurus Harta BIBD bagi sesi Perancangan Kewangan Islam boleh menghantar e-mel ke alamat wmu@bibd.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA