Kesejahteraan anak yatim terus dipeduli

Kesejahteraan anak yatim terus dipeduli

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Ogos – Lebih 20 orang anak-anak yatim telah diraikan bersama dalam majlis Sambutan Ramah Mesra Hari Raya anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang, di sini, hari ini.

Majlis yang diadakan di Pantai Sungai Liang itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli MPK tersebut bersama dengan anak-anak yatim di kampung itu dan juga masyarakat persekitaran dalam suasana mesra hari raya, walaupun bulan Syawal sudah meninggalkan kita.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penasihat MPK Sungai Liang Dato Paduka Dr Haji Matsunny bin Haji Hussein.

Pengerusi majlis, Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Ibrahim bin DMS Dian, dalam ucapan alu-aluannya berkata kesejahteraan anak-anak yatim perlu terus diambil berat demi membantu mereka dalam mengharungi kehidupan tanpa bersama orang yang mereka kasihi iaitu ayah mereka yang sudah meninggal dunia.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan nyanyian bertema Selamat Hari Raya Aidilfitri secara beramai-ramai kemudian penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang telah disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat.

Sesi bergambar ramai sebagai kenangan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim dan tetamu kehormat.
Sesi bergambar ramai sebagai kenangan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim dan tetamu kehormat.

Majlis turut diceriakan lagi dengan ramah mesra sambil menikmati jamuan bersama anak-anak yatim dan hadirin yang ada, seterusnya sesi bergambar ramai.

Kemudian, acara diteruskan lagi dengan beberapa persembahan nyanyian solo dan berkumpulan daripada kalangan ahli-ahli MPK kampung itu dan peserta lainnya.

Tidak ketinggalan juga menambah serikan lagi majlis dengan mengadakan acara memotong kek Selamat Hari Raya untuk anak-anak yatim yang diraikan.

Majlis meraikan anak-anak yatim itu merupakan antara aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh MPK Sungai Liang, selain acara-acara lainnya di sepanjang tahun, di samping aktiviti memajukan ekonomi melalui projek Satu Kampung Satu Produk dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA