Keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaaan

Keselamatan dan kesihatan dalam pekerjaaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd (JO), buat pertama kalinya hari ini telah mengadakan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang berlangsung di Hotel StarLodge, Jerudong, di sini.

Membawa tema ‘WSHO, NEBOSH & You’, seminar berkenaan menyaksikan wakil-wakil JO membincangkan impak WSHO 2009 dalam perniagaan serta kelayakan Lembaga Peperiksaan Kebangsaan dalam OSH (NEBOSH) bagi pegawai-pegawai OSH di Negara Brunei Darussalam.

Penerangan lanjut mengenai masa depan OSH dan alam sekitar di negara ini turut dikongsi oleh penceramah jemputan, Pemeriksa Kanan Kesihatan, Sekuriti, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) di Bahagian HSSE, Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri, Kapten Jaime Rebelo.

Pengarah Urusan JO, Pengiran Mohd Noor Joffren bin Pengiran Omar membuka seminar tersebut, dan menyatakan bahawa acara itu dikendalikan sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat organisasi.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan bahagian HSSE di Jabatan Tenaga dan Industri, Jabatan Perdana Menteri atas sokongan mereka dalam persiapan dan kehadiran mereka pada seminar ini.

“Seminar ini memenuhi objektif dan jangkaan kami. Kami berharap ia akan dapat memberikan kefahaman yang lebih baik dalam kalangan pekerja-pekerja mengenai kewajipan terhadap hal-hal kesihatan dan keselamatan pekerjaan, terutamanya dalam konteks WSHO 2009,” tambahnya.

Manakala itu, Kapten Jaime Rebelo berkata, beliau mengalu-alukan peluang untuk membantu meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Seminar yang diadakan selama tiga jam itu dihadiri oleh para pengurus kanan dan kakitangan HSSE/OSH dari pelbagai jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta di beberapa industri.

ARTIKEL YANG SAMA