Keselamatan d...

Keselamatan diutamakan di perarakan Tahun Baru

PASADENA – Perarakan tahunan, Rose Parade telah berlangsung dengan cukup meriah di California dengan menampilkan keindahan suasana yang berwarna-warni, berlatarkan cuaca yang redup dan paling utama adalah keselamatan para hadirin yang memeriahkan majlis perarakan itu jelas terjamin memandangkan lebih kurang 1,000 orang pegawai penguat kuasa undang-undang telah ditugaskan bagi memastikan majlis itu berlangsung dengan sempurna.

Majlis perarakan Rose Parade ini dianjurkan oleh Honda dan ia merupakan salah satu tradisi sambutan sempena tahun baru yang diadakan di Pasadena California pada setiap tahun.

Pada kebiasaannya, majlis perarakan ini dimeriahkan dengan pelbagai hiasan bunga, perbarisan berkumpulan dan unit ekuestrian serta diikuti dengan permainan bola sepak yang biasanya disertai oleh pelajar kolej.

Mengenang kembali sejarah tradisi majlis perarakan tersebut telah dimulakan pada 1 Januari 1980 di mana pada setiap tahun acara sambutan itu sentiasa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kalangan penduduk setempat malah ia juga turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan di Amerika Syarikat.

Ciri-ciri keselamatan bagi penganjuran majlis perarakan bagi tahun ke-128 ini jelas semakin dipertingkatkan sebagai langkah pengawasan berikutan daripada beberapa peristiwa serangan pengganas yang berlaku di Eropah pada tahun lepas.

Antara kereta berhias yang berjaya menarik perhatian para penonton.
Antara kereta berhias yang berjaya menarik perhatian para penonton.

“Walaupun tiada sebarang petanda awal yang memperlihatkan berlakunya sebarang ancaman namun beberapa pegawai penguat kuasa juga telah ditugaskan untuk menjaga keamanan dan keselamatan para hadirin hanya dengan berpakaian biasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” jelas salah seorang pegawai penguatkuasa.

“Selain itu, penghadang kukuh juga telah didirikan di lebih daripada 50 kawasan persimpangan bagi mencegah sebarang aktiviti serangan pengganas sebagaimana yang pernah berlaku di Berlin dan Nice di Perancis,” tambah pegawai penguat kuasa tersebut.

Di samping itu, kehadiran pihak penguatkuasa undang-undang juga jelas kelihatan di kawasan berdekatan dengan Rose Bowl dan Univerisiti Southern California di mana ia juga diyakini sebagai kawasan tumpuan ketika penganjuran majlis perarakan.

Tatkala para penonton teruja memasuki kawasan majlis perarakan tersebut, beberapa buah trak pegawai FBI SWAT yang disertai Timbalan Sherif Los Angeles, Peronda Lebuh raya California, Pasukan Polis Pasadena, Pegawai Keselamatan Dalam Negeri dan anjing penghidu bom, turut kelihatan.

Pasukan keselamatan dan pihak berkuasa telah mempertingkatkan kawalan keselamatan sewaktu acara majlis perarakan Rose Parade berlangsung baru-bari ini.
Pasukan keselamatan dan pihak berkuasa telah mempertingkatkan kawalan keselamatan sewaktu acara majlis perarakan Rose Parade berlangsung baru-bari ini.
Beberapa penghadang juga telah didirikan sebagai mempertingkatkan lagi langkah keselamatan bagi memastikan acara tersebut berlangsung dengan sempurna.
Beberapa penghadang juga telah didirikan sebagai mempertingkatkan lagi langkah keselamatan bagi memastikan acara tersebut berlangsung dengan sempurna.

Majlis perarakan sejauh 5½ batu itu turut menampilkan perbarisan berkumpulan, penunggang kuda dan berpuluh-puluh kereta berhias yang sangat menarik.

Antara tarikan utama daripada deretan kereta berhias yang ditampilkan pada majlis perarakan itu adalah kereta berhias yang menampilkan konsep Hawaii seperti air terjun dan gunung berapi.

Selain itu, ada juga sebuah kereta berhias yang turut dilengkapi dengan tema penghormatan yang ditaja oleh Yayasan Penjagaan Kesihatan AIDS terhadap 49 nyawa yang terkorban sewaktu pengeboman yang berlaku di sebuah kelab di Orlando, Florida.

Tiga pemenang pingat emas Olimpik iaitu pelari, Allyson Felix, penyelam, Greg Louganis dan perenang, Janet Evans turut memeriahkan majlis perarakan tahunan tersebut.

Suhu cuaca sewaktu majlis perarakan itu adalah jauh lebih dingin daripada biasa namun ia adalah jauh lebih baik daripada yang dialami pada sekitar tahun 50 an di mana para hadirin tetap bersemangat untuk menonton majlis perarakan kereta berhias walaupan terpaksa berada dalam keadaan basah berikutan daripada keadaan pada ketika itu yang seringkali berlatarkan keadaan cuaca hujan lebat. – AP

ARTIKEL YANG SAMA