Keselamatan jalan raya perlu diberi perhatian

Keselamatan jalan raya perlu diberi perhatian

Oleh Pg Fairol RMF

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Keselamatan jalan raya perlu diberikan perhatian kerana kes-kes kemalangan serius sehingga membawa maut terus meningkat di negara ini.

Sehubungan itu, Kementerian Perhubungan akan terus komited meningkatkan usaha menjalankan kempen keselamatan jalan raya melibatkan semua agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai melalui Pendekatan Seluruh Negara (Whole of Nation Approach).

Menteri Perhubungan Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat turut menekankan bahawa pengenalan Kempen Sistem Keselamatan Amalan Pemandu (SIKAP) merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran keselamatan lalu lintas dan ia sedikit sebanyak menunjukkan banyak kesan positif selepas diperkenalkan pada 1 Oktober 2013.

Yang Berhormat Dato berkata demikian ketika menjelaskan mengenai keberkesanan sistem Demerit di bawah SIKAP selepas keberkesanannya dipersoalkan oleh Yang Berhormat Haji Gapor@Haji Mohd Daud bin Karim pada Majlis Mesyuarat negara hari ke-10 pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, melalui sistem Demerit ini, mana-mana pemandu yang didapati melanggar peraturan undang-undang jalan raya maka selain daripada dikenakan denda, pemandu berkenaan juga akan diambil tindakan pentadbiran dengan dikenakan mata demerit yang membolehkan lesen memandu mereka digantung atau ditarik balik.

Ia sudah menunjukkan kesan positif terutama dalam mengawal kes-kes melanggar undang-undang dan lalu lintas negara. Berdasarkan statistik daripada JPD, didapati kadar pemandu yang melanggar peraturan jalan raya dikenakan mata demerit menurun daripada 4,080 kes pada tahun 2014 kepada 992 kes pada tahun 2015.

Berdasarkan maklumat terkini yang diterima, jumlah pesalah keseluruhan pesalah lalu lintas pada 14 November 2015 ialah sebanyak 6,669 orang. Jumlah yang sudah membayar kompaun yang dikenakan mata demerit ialah 3,583 orang.

Yang Berhormat Dato turut menerangkan secara terperinci mengenai jumlah pesalah-pesalah yang telah mengumpul mata demerit, yang mana sebanyak 20 mata demerit dikenakan kepada lapan orang, pesalah yang telah mengumpul 21 mata demerit seramai 61 orang, pesalah yang telah mengumpul 18 mata demerit ialah 171 orang dan pesalah yang telah mengumpul 12 mata demerit ialah 361 orang.

ARTIKEL YANG SAMA