Keselamatan lapangan terbang jadi tumpuan

Keselamatan lapangan terbang jadi tumpuan

BERLIN/SYDNEY, 23 Mac (Reuters) – Beberapa buah negara telah mengetatkan atau mengkaji semula kawalan keselamatan lapangan terbang ekoran dua letupan di Lapangan Terbang Brussels ketika Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull hari ini mengatakan sempadan Eropah yang mudah dicerobohi dan kurang kawalan keselamatan menjadi punca serangan itu.

Kumpulan IS mengaku bertanggung jawab atas serangan bom itu di dewan perlepasan Zaventem dan kereta api metro pada waktu sibuk yang mengorbankan kira-kira 30 orang.

Para pendakwa berkata letupan di lapangan terbang itu, yang menerima lebih 23 juta penumpang setahun, dipercayai berpunca daripada pengebom-pengebom berani mati.

Turnbull masuk campur dalam perdebatan sejagat tentang melindungi sempadan, dengan menenangkan rakyat Australia bahawa ‘pengaturan keselamatan dalam negara kita adalah lebih mantap dari kawalan di Eropah yang mana amat dikesali mereka membolehkan perkara-perkara menceroboh masuk.”

“Kelemahan dalam kawalan keselamatan Eropah itu berkaitan dengan masalah yang mereka alami dalam tempoh waktu kebelakangan ini,” menurutnya di Sydney.

Kawalan keselamatan lebih ketat di lapangan terbang sekitar Asia hari ini, dengan Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Thailand dan India mengatakan mereka mengerah sumber tambahan di pusat-pusat utama.

Langkah baru termasuklah tambahan pemeriksaan ke atas mereka yang memasuki terminal dan rondaan tambahan dalam bangunan, menurut para pegawai dari sekitar rantau itu. Di India, yang mana kawalan keselamatan lebih ketat dari kebanyakan bahagian di Asia, hanya membenarkan para penumpang dengan tiket penerbangan dan pasport sah masuk ke terminal sebelum serangan semalam.