Keselamatan perairan perlu diperbaiki

Keselamatan perairan perlu diperbaiki

SANDAKAN, 12 Julai – Pihak keselamatan diminta mengkaji semula dengan lebih mendalam kelemahan dalam usaha memperkuatkan langkah keselamatan bagi memastikan perairan negeri ini tidak mudah diceroboh anasir jahat.

Kapitan Cina Kawasan Elopura James Leong berkata perkara ini perlu diberikan perhatian lebih serius ekoran kejadian penculikan yang berlaku baru-baru ini.

“Segala ruang yang masih longgar harus diperkukuhkan supaya anasir jahat terutama kumpulan penculik untuk tebusan dari selatan Filipina tidak lolos masuk ke perairan negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Pada Sabtu lepas, tiga rakyat Indonesia diculik lima lelaki bersenjata di perairan Felda Sahabat, Lahad Datu ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

James berkata masyarakat juga perlu terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negeri ini.

“Sekarang bukan masanya untuk kita menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi kita seharusnya bersama-sama memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam usaha menangani kes jenayah dan penculikan di laut,” katanya.

Beliau berkata rakyat negeri ini sudah tentu mahu kerajaan mengambil serius aspek keselamatan perairan negara terutama di timur Sabah yang sering dibolosi jenayah rentas sempadan dan penculikan. – Bernama