Keselamatan satu nilai utama

Keselamatan satu nilai utama

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB), budaya teknologi perhubungan di Negara Brunei Darussalam pada umumnya sudah pun berasaskan nilai-nilai keBruneian yang berpaksikan Islam dan berpemerintahan beraja.

Hanya beberapa perkara lain sahaja yang perlu diadakan bagi memaksimumkan penerapan nilai-nilai MIB dalam budaya teknologi perhubungan kitani. Apa yang paling utama dan mendasar dalam budaya teknologi perhubungan berasaskan nilai-nilai MIB ini ialah keselamatan.

Antara nilai-nilai MIB yang menjadi dasar dalam menuju keselamatan tersebut ialah sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala setiap masa dengan mengerjakan ajaran dan suruhan-Nya, di samping nilai hormat-menghormati, beawar galat, belurus, cakah, inda camah mata, titih, lutanan, taat setia kepada raja dan seumpamanya.

Dengan adanya nilai-nilai MIB yang sedemikian dalam budaya teknologi perhubungan kitani, sudah tentu ia akan dapat menjana perhubungan berkat dan selamat dan seterusnya dapat menjadi pemangkin kesejahteraan orang kitani khususnya dan kesejahteraan ummah umumnya.

Perkara tersebut merupakan kesimpulan kertas kerja bertajuk ‘Budaya Teknologi Perhubungan berasaskan nilai-nilai yang terkandung di dalam falsafah Melayu Islam Beraja (MIB)’ yang dibentangkan oleh Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah semasa Simposium Majlis Ilmu 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, petang tadi.

Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim semasa membentangkan kertas kerjanya petang tadi.
Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim semasa membentangkan kertas kerjanya petang tadi.

Dalam pembentangan tersebut, beliau juga mengongsikan beberapa cabaran dalam mewujudkan budaya teknologi perhubungan yang berasaskan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah MIB.

Salah satu cabaran yang utama ialah pengaruh daripada budaya luar yang sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan dan nilai-nilai MIB tersebut.

Menurut beliau lagi, budaya luar itu pula datangnya daripada pelbagai cara atau sumber misalnya melalui internet yang merupakan perhubungan global dan kuat pengaruhnya terhadap nilai-nilai keBruneian yang berasaskan MIB. Selain itu, pengaruh luar juga datang melalui kehadiran pekerja-pekerja asing.

Sebelum ini, beliau juga telah membicarakan budaya teknologi perhubungan berasaskan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah MIB. Pertama sekali, beliau mengongsikan tiga kata kunci dalam tajuk berkenaan iaitu ‘teknologi perhubungan’, ‘budaya teknologi perhubungan’, dan ‘nilai-nilai MIB’.

Menurut Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim, teknologi perhubungan itu difokuskan kepada komunikasi dan pengangkutan, sementara itu, budaya teknologi perhubungan pula akan dilihat dari segi sifat kewujudannya iaitu mudah, cepat, efisien dan dinamik.

Manakala itu, ‘Nilai-nilai MIB’ pula merujuk kepada sifat positif orang Brunei beragama Islam yang diwarisi turun temurun misalnya hormat-menghormati, beawar galat, belurus, cakah, ginis, inda camah mata, lutanan, bakarih, patuh kepada ketua dan sentiasa taat dan mengingati Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA