Keselamatan Tawau perlu diperkukuh

Keselamatan Tawau perlu diperkukuh

TAWAU, 1 Dis (Bernama) – Keselamatan di Tawau perlu diperkukuhkan bagi mengelak ia menjadi kawasan transit kegiatan jenayah rentas sempadan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. Beliau mengingatkan pasukan keselamatan supaya tidak leka dalam tugas kerana daerah ini terdedah kepada penjenayah rentas sempadan yang sentiasa mencari peluang menjalankan kegiatan mereka melalui daerah ini.

“Walaupun daerah ini aman damai, tetapi jangan sangka tiada buaya. Beberapa ancaman keselamatan turut berlaku terutamanya penyeludupan, pemerdagangan manusia, penculikan dan dijadikan kawasan transit pengganas,” katanya ketika berucap pada majlis serah terima tugas jawatan ketua polis daerah Tawau, di sini hari ini. Jalaluddin berkata Tawau juga merupakan salah satu daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dan kedudukannya “paling hujung di negeri ini” yang berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan perairan Laut Sulu serta Laut Sulawesi.

Oleh itu, beliau berkata isu persempadanan membabitkan Tawau, yang masih dipertikaikan oleh negara luar, juga perlu sentiasa diberi perhatian.

“Kita masih berhadapan dengan banyak lagi gangguan dari segi pencerobohan kawasan, termasuk nelayan tempatan yang menangkap ikan di perairan negara tetapi ditangkap oleh pihak berkuasa negara jiran (Indonesia) kerana menganggap kawasan itu kawasan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata selain aspek keselamatan yang perlu diperkukuhkan, kedudukan strategik daerah ini menjadikan ia kawasan yang berupaya menjana ekonomi.