Kesengsaraan hidup pelarian Rohingya dari kaca mata seorang doktor

KUALA LUMPUR – Di sebalik cahaya matahari yang panas membakar, orang ramai yang beratur di luar klinik sementara MERCY Malaysia di khemah pelarian Balukali dan Tenkali, daerah Cox Bazar, Bangladesh, sedikit pun tidak berganjak, malah semakin bertambah.

Keadaan mereka amat menyedihkan. Yang lelakinya hanya berkain pelikat dan berkaki ayam sementara yang perempuannya pula dengan pakaian yang seadanya, kebanyakan datang dengan anak kecil. Mereka adalah pelarian Rohingya dari wilayah Rakhine, Myanmar, golongan minoriti yang paling teruk ditindas dan menjadi mangsa kekejaman tentera negara itu.

Pelarian itu berbondong-bondong datang ke klinik MERCY Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan, sesuatu yang mungkin asing bagi kebanyakan mereka. Ratusan ribu pelarian ini terpaksa melarikan diri ke negara jiran Bangladesh untuk mencari perlindungan di sebalik keadaan hidup yang sukar di negara yang sememangnya mempunyai jumlah penduduk yang rumah serta sumber ekonomi yang terhad.

Menurut laporan stesen televisyen Al-Jazeera, sejak tentera Myanmar melakukan kekejaman serta penghapusan etnik ke atas umat Islam Rohingya pada 25 Ogos, dianggarkan sekitar 501,800 orang terpaksa melarikan diri dari kampung halaman mereka.

Tidak ada negara mahu menerima pelarian berkenaan, cuma Bangladesh, di sebalik masalah yang dihadapi menerima pelarian ini dan menempatkan mereka di daerah Cox Bazar, kawasan bersempadan dengan Myanmar.

Pelarian itu berbondong-bondong datang ke klinik MERCY Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan, sesuatu yang mungkin asing bagi kebanyakan mereka.
Mereka adalah pelarian Rohingya dari wilayah Rakhine, Myanmar, golongan minoriti yang paling teruk ditindas dan menjadi mangsa kekejaman tentera negara itu.

Sememangnya apa yang dibuat oleh Kerajaan Bangladesh itu sepatutnya dipuji memandangkan negara itu sendiri kekurangan sumber kewangan untuk menampung kehidupan pelarian Rohingya. Sebagai usaha membantu meringankan beban Kerajaan Bangladesh, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk MERCY Malaysia secara aktif menyediakan bantuan di khemah sementara yang didirikan oleh Kerajaan Bangladesh.

 Ujian berat untuk Dr Myelone

Dalam wawancara Whatsapp dengan Bernama, Dr Myelone Tharmaseelan, sukarelawan MERCY Malaysia yang berganding bahu mengendalikan dua klinik sementara di Balukali dan Tenkali dengan NGO tempatan, Coastal Association for Social Transformation Trust (Coast), berkongsi pandangannya tentang nasib malang pelarian itu.

Dua lagi rakyat Malaysia dalam pasukan sukarelawan itu ialah Dr Norherah Syed Omar dan pembantu perubatan T.Sochkalingam. Menurut Dr Myelone, 28, pihaknya berdepan dengan pelbagai kekurangan termasuk makanan, air bersih, tempat tinggal dan bekalan ubat.

“Pihak kami terpaksa menutup klinik selama dua hari kerana kehabisan ubat,” jelas beliau sambil menambah, masalah bekalan ubat terus berlaku meskipun pihaknya menambah bekalan setiap hari.

“Tak banyak yang kami boleh buat sedangkan ramai pelarian yang sakit,” kata Dr Myelone, secara bergilir-gilir bertugas di khemah pelarian Balukali dan Tenkali di daerah Cox’s Bazar. Beliau berkata keadaan di khemah pelarian itu yang ada kalanya huru-hara dengan pelarian bergaduh sesama sendiri berebut untuk mendapatkan rawatan.

Beban penyakit

Apabila ditanya apakah masalah perubatan yang dialami pelarian, Dr Myelone berkata terlalu banyak penyakit termasuk yang mengancam nyawa.

“Ada penyakit yang mudah berjangkit dan ada yang tidak. Yang mudah berjangkit seperti jangkitan pernafasan, disentri dan radang perut serta usus. “Yang tidak berjangkit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan pemakanan tak seimbang,” tambahnya.

Bercakap lebih lanjut tentang pemakanan tak seimbang, Dr Myelone berkata begitu ramai kanak-kanak yang menderita masalah itu yang sudah tentunya akan membantutkan pertumbuhan mereka. “Keadaan mereka amat menyedihkanj tetapi tak banyak yang kami boleh lakukan. Masyarakat antarabangsa perlu tahu keadaan pelarian ini. Bantulah. Mereka amat memerlukan bantuan,” katanya.

Ada pelarian yang menghidap radang perut dan usus kerana tidak makan betul selama enam bulan dan ada yang mempunyai sejarah penyakit ahmar dan lemah neurologi.

Penuhi kewajipan

Ketika diwawancara Bernama, Dr Myelone, sudah berada selama lima hari di khemah pelarian. Meskipun terpaksa bekerja dalam keadaan persekitaran yang penuh tekanan, beliau menyifatkan pengalaman itu amat bernilai.

“Pada hari Ahad, saya bekerja sendirian dan menerima 100 pesakit. Pada hari Isnin saya di Balukali bersama pembantu perubatan T.Sochkalingam. Kami menerima sekitar 300 pesakit,” tambahnya.

“Sebagai doktor, kita perlu mempunyai empati dan simpati.

Kita perlu bantu pelarian ini sedaya mungkin. “Pelarian ini hanya mahuklan bantuan dan rawatan perubatan. Saya berbesar hati dapat merawat mereka,” kata beliau dengan menambah pengalaman merawat pelarian Rohingya itu memang menyedihkan tetapi memberi banyak pengalaman untuk dirinya.

Kisah menyayat hati

Dalam tempoh singkat lima hari merawat pelarian Rohingya itu, Dr Myelone melalui banyak kisah yang menyedihkan.

Salah satu daripadanya melibatkan seorang anak kecil yang begitu menyentuh perasaan. Anak kecil itu dibawa ibunya. Ayah budak itu dipercayai sudah terkorban ketika berlaku keganasan di kampung halaman mereka di Rakhine, Myanmar.

“Comel sungguh budak itu. Dia melihat saya dengan perasaan takut saya akan mengambil buah pisang yang ada dalam genggamannya. Dia tahu ayahnya sudah tiada dan kasihan sunguh ibu budak itu yang perlu membesarkan anaknya dalam keadaanj serba kepayahan,” katanya.

Beliau berharap rakyat negara ini akan menghulurkan bantuan untuk membantu pelarian Rohingya. Dr Myelone akan berkhidmat di khemah pelarian itu sehingga 11 Okt ini.

Hantar lebih ramai doktor

Pada 3 Okt, Bernama melaporkan Presiden MERCY Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata pihaknya akan menghantar seramai 60 pegawai perubatan kedua-dua khemah pelarian Rohingya di Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat MERCY, beliau  menjelaskan langkah itu perlu memandangkan semakin ramai pelarian Rohingya membanjiri Bangladesh berikutan keganasan yang melanda wilayah Rakhine di timur Myanmar.

Tambah beliau, rawatan perubatan perlu diberikan kepada wanita yang mengandung serta kanak-kanak ekoran kemungkinan berlaku wabak taun serta penyakit yang berpunca daripada air. “MERCY yang akan beroperasi dari khemah pelarian Balukali dan Tenkali memerlukan kira-kira RM5 juta bagi menyediakan rawatan perubatan untuk pelarian Rohingya.

“Kami memang berharap keadaan akan bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan adanya kerjasama yang lebih baik antara pihak kerajaan, tentera dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di samping masyarakat sivil.

“Bagaimanapun, hakikatnya khemah pelarian Rohingya berada dalam keadaan yang amat teruk,” kata Dr Ahmad Faizal.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Bangladesh akan menjalankan suntikan taun ke atas 500,000 pelarian berkenaan dan MERCY akan membantu daripada aspek rawatan perubatan serta isu air serta kebersihan. – Bernama