Kesenian masyarakat Korea di UBD

Kesenian masyarakat Korea di UBD

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Dengan hasrat untuk mengetengahkan budaya dan sejarah serta kesenian masyarakat Korea, Kedutaan Korea di Negara Brunei Darussalam dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan sokongan Korea Foundation telah mengadakan Pesta Filem Korea 2015 yang diadakan di Dewan Kuliah, The Core, UBD, hari ini.

Hadir untuk sama-sama menyaksikan tayangan filem semasa pesta berkenaan ialah Timbalan Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Yi Chang-Hoon.

Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan dari Kedutaan Besar Korea di Negara Brunei Darussalam, pelajar-pelajar UBD dan orang ramai yang sama-sama menjayakan pesta berkenaan.

Menurut Yi, pesta filem itu bermatlamat untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai budaya dan kehidupan masyarakat Korea melalui karya filem yang menarik.

Melalui filem-filem yang ditayangkan, ia bukan sahaja memberikan gambaran mengenai kehidupan masyarakat di negara itu tetapi juga memberikan pendedahan kepada industri kreatif perfileman Korea yang mendapat sambutan bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga antarabangsa.

Yi Chang-hoon dan para pelajar UBD yang menghadiri pesta filem itu bergambar bersama poster bagi pesta filem berkenaan sebelum tayangan filem Secretly, Greatly.
Yi Chang-hoon dan para pelajar UBD yang menghadiri pesta filem itu bergambar bersama poster bagi pesta filem berkenaan sebelum tayangan filem Secretly, Greatly.

Beliau juga berkata bahawa, pesta filem itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada pelajar UBD tetapi juga orang ramai yang hadir untuk menyaksikan filem itu terus meningkat.

Pesta filem itu diadakan selama tiga hari bermula dari kelmarin dengan hari ini menayangkan filem aksi drama yang dibintangi oleh pelakon popular Korea Kim Soo Hyun iaitu Secretly, Greatly.

Sementara itu, pada hari terakhir esok, filem sejarah drama The Face Reader akan menghiburkan para penonton.

Sehubungan itu, pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama berkunjung ke pesta filem berkenaan di mana masuk adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA