Keseragaman sijil halal ASEAN

Keseragaman sijil halal ASEAN

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu mengadakan pengiktirafan bersama atau perjanjian untuk membolehkan mereka mempunyai pensijilan halal yang standard, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan luar Malaysia (Matrade).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dzulkifli Mahmud berkata keseragaman pensijilan halal ASEAN akan membolehkan kesemua negara-negara di rantau ini membuat urus niaga berkaitan dengan produk halal secara lebih lancar di kalangan mereka.

“Bukan sahaja ia boleh dipakai di kalangan negara-negara ASEAN, malah kami berharap agar proses pensijilan halal ini boleh diterima pakai oleh negara-negara bukan ASEAN juga, tetapi mengikut terma dan syarat kami.

“Buat masa ini, kami (negara-negara ASEAN) sedang dalam perbincangan untuk mewujudkan satu penyeragaman bagi melahirkan sijil halal tersebut,” Dzulkifli berkata kepada Bernama.

Beliau hadir dalam majlis Prosedur Pensijilan Halal Malaysia bersama Jakim, anjuran Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM).

Menurut Dzulkifli, perbincangan tersebut diharap dapat berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama semua negara-negara ASEAN.

Apabila proses pemberian sijil halal kepada syarikat-syarikat tempatan dapat disegerakan, ia dapat melicinkan aktiviti promosi barangan tempatan ke peringkat luar negara, katanya.

“Produk-produk yang layak ke luar negara secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada syarikat tempatan dan memudahkan mereka mendapat tempahan untuk jangka masa panjang.

“Ia juga dapat menjadikan eksport negara lebih kompetitif,” katanya sambil menambah bahawa negara luar yakin dengan terma dan syarat yang dikeluarkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, Jakim mempunyai wakil-wakil yang berkelayakan di beberapa negara luar, di mana setiap daripada mereka telah dilatih berdasarkan kepada terma dan syarat yang ditentukan jabatan tersebut.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PPIPBM Asmah Abdullah berkata persatuan tersebut akan sedia membantu dan memberi bimbingan kepada syarikat-syarikat tempatan yang ingin mendapatkan pensijilan halal bagi tujuan memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Kami sedar bahawa sesetengah syarikat tempatan mempunyai kekangan untuk mendapatkan sijil halal bagi produk mereka, tetapi kebanyakannya daripada mereka tidak mahu tampil untuk mendapatkan bantuan.

“PPIPBM sedia membantu mereka,” katanya, sambil menambah bahawa persatuan tersebut mempunyai lebih kurang 800 ahli dan mahu meningkatkan jumlah itu kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Antara fungsi PPIPBM termasuklah menyediakan platform kepada syarikat kecil dan sederhana untuk meningkatkan rangkaian melalui perkongsian maklumat dan kerjasama agensi usahawan.

Ia turut memberi ruang kepada ahli membuka pasaran antarabangsa melalui program lawatan dagang eksport. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA