Kesesakan diatasi

Kesesakan diatasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Masalah kesesakan lalu lintas bagi pengguna-pengguna jalan raya persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja dan Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha khususnya pada waktu pagi dan petang kini mampu dikurangkan dengan pembukaan rasmi jejambat di persimpangan berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian jejambat berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Chua Pheng Keong, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan Kementerian Pembangunan.

Dato Paduka Haji Suhaimi dalam temu bual bersama pihak media berkata, projek itu bertujuan untuk memudahkan perjalanan penduduk yang menggunakan jalan berkenaan untuk menuju ke ibu negara terutama waktu-waktu kesesakan seperti pada sebelah pagi.

Beliau menyatakan harapan, dengan adanya jejambat itu, ia mampu untuk melicinkan pergerakan lalu lintas di kawasan berkenaan kerana didapati persimpangan berkenaan merupakan satu persimpangan yang kritikal atau mengalami kesesakan lalu lintas.

Dato Paduka Haji Suhaimi menyempurnakan perasmian Jejambat di Persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja/ Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, kelmarin.
Dato Paduka Haji Suhaimi menyempurnakan perasmian Jejambat di Persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja/ Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, kelmarin.

Kini, perjalanan orang ramai dari Jalan Pengiran Babu Raja hingga ke Jalan Tutong dan dari Jalan Tutong untuk kembali menuju ke Jalan Pengiran Babu Raja semakin lancar.

Dato Paduka Haji Suhaimi berkata bahawa pada masa ini terdapat beberapa projek pembinaan jejambat (Interchange) sedang dilaksanakan dengan projek pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja / Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha merupakan yang terbaru dirasmikan.

Jelasnya lagi, dalam tempoh beberapa bulan lagi iaitu sekitar penghujung 2016, jejambat baru dijangka siap iaitu di Jalan Telanai. Dato Paduka Haji Suhaimi turut berkata bahawa Jalan Penghubung Tungku ke Jerudong juga akan disiapkan pada hujung 2016.

Terdahulu dari itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan penerangan ringkas mengenai projek pembinaan Jejambat Di Persimpangan Jalan Pengiran Babu Raja/Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang disampaikan oleh Pengarah Jalan Raya, Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Awang Yee Kok On.

Majlis diteruskan dengan perasmian jejambat berkenaan yang disempurnakan oleh Dato Paduka Haji Suhaimi.

Projek pembinaan jejambat di persimpangan itu merupakan projek yang dikendalikan oleh Jabatan Jalan Raya, JKR, Kementerian Pembangunan di mana ia merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN10) yang mula dibina pada pertengahan 2012 melalui penglibatan pemborong tempatan iaitu Tobishima (B) Sdn Bhd dengan menelan belanja kira-kira $20 juta.

Jejambat yang dibukakan untuk kegunaan orang ramai bermula hari ini dilaksanakan bagi menampung pertumbuhan jumlah lalu lintas di samping meningkatkan tahap keselamatan para pengguna jalan raya serta memperkemaskan lagi sistem rangkaian jalan raya dengan lebih teratur.

Projek itu menyediakan laluan keluar/masuk yang lebih selesa dan selamat menuju ke kawasan Jalan Pengiran Babu Raja terutama sekali bagi lalu lintas yang datang dari pusat Bandar Seri Begawan dan di samping itu, ia juga menyediakan laluan untuk berpatah balik menuju ke pusat bandar.

Lampu isyarat lalu lintas dan papan tanda juga dipasang bagi memudahkan perjalanan dan pelancaran lalu lintas yang menggunakan jejambat itu.

Dengan terbinanya jejambat di persimpangan itu, ia sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah kesesakan di sebahagian kawasan di jalan utama Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di mana sebahagian jumlah lalu lintas yang datangnya dari arah Beribi akan menggunakan Jalan Pengiran Babu Raja untuk menuju ke Telanai dan kawasan sekitarnya.

Menurut perancangan Jabatan Jalan Raya, JKR, sebuah lagi jejambat akan dijangka siap pada 2016 iaitu jejambat di persimpangan Jalan Gadong/Jalan Penghubung Telanai.

Usaha itu adalah sebagai kesinambungan usaha Kementerian Pembangunan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan para pengguna jalan raya khususnya yang sering menggunakan jalan berkenaan.

Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk membuka peluang perkembangan kegiatan sosioekonomi di sepanjang kawasan Jalan Pengiran Babu Raja dan melancarkan pergerakan serta mempercepatkan perjalanan lalu lintas.

Dengan pembukaan jejambat itu, JKR mengingatkan kepada orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya supaya akan memandu dengan berhati-hati serta mematuhi papan tanda yang telah disediakan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

 

ARTIKEL YANG SAMA