Kesibukan, kemeriahan sambut kedatangan Syawal

Kesibukan, kemeriahan sambut kedatangan Syawal

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Bulan Ramadan kini telah sampai ke penghujungnya dan umat Islam di negara ini akan menyambut 1 Syawal esok, di mana kemeriahannya begitu terasa apabila orang ramai sibuk membuat persiapan-persiapan terakhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Media Permata, hari ini, menyaksikan jalan-jalan raya begitu sesak, terutamanya di kawasan gedung perniagaan di mana orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berbelanja dengan adanya pelbagai promosi jualan murah dan hebat yang menarik perhatian.

Dalam kesibukan membuat persiapan, orang ramai diseru berbelanja dengan berhemat dan meneliti terlebih dahulu bajet yang dikhaskan dan tidak bersifat membazir.

Salah seorang pengunjung yang ditemui di sebuah pusat membeli-belah di Gadong, Hajah Maimunah binti Daus, 36, berkata bahawa beliau lebih suka mendapatkan barang keperluan pada saat akhir menjelang Syawal kerana kemeriahan Hari Raya lebih terasa.

“Walaupun terpaksa bersesak, bukan menjadi masalah asalkan keperluan raya yang berkenan di hati berjaya diperolehi di samping melakukan tinjauan harga terlebih dahulu di awal Ramadan sebelum membeli kelengkapan raya,” jelasnya.

Orang ramai yang berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah.
Orang ramai yang berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah.
Awang Mohammad belajar mengatur perbelanjaan sebaik masuk alam pekerjaan.
Awang Mohammad belajar mengatur perbelanjaan sebaik masuk alam pekerjaan.
ATAS & BAWAH: Suasana jalan raya sesak yang menuju ke Pusat-pusat membeli-belah di negara ini.
ATAS & BAWAH: Suasana jalan raya sesak yang menuju ke Pusat-pusat membeli-belah di negara ini.

p04-6_20160706

Menurutnya, memang ada perbezaan harga ketika mula berpuasa dan menjelang raya seperti membeli baju raya yang siap sedia pada saat akhir akan lebih murah yang mana mungkin ini disebabkan promosi yang ditawarkan oleh penjual.

“Kalau beli awal-awal kurang meriah kerana ‘mood’ raya belum sampai lagi tapi di hujung Ramadan barulah terasa kemeriahannya.

“Membeli-belah persiapan raya secara beramai-ramai bersama keluarga pastinya kemeriahan suasana hari raya akan lebih dirasakan, ditambah dengan karenah adik-beradik yang lain,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Awang Mohammad bin Haji Mohd Salleh, 27, pula berkongsi pandangan mengenai dengan pengawalan perbelanjaan untuk persiapan menjelang hari raya.

Menurutnya, pengawalan perbelanjaan bukan saja di-lakukan pada bulan Ramadan dan Syawal saja tapi ia sudah dipraktikkan pada awal mula mendapat pekerjaan lagi.

“Seperti lazimnya pada bulan Ramadan ini, banyak gerai-gerai Ramadan yang menawarkan pelbagai juadah berbuka yang pastinya memikat hati pengunjung gerai tapi dalam perkara ini, perlunya ada jumlah had yang perlu dibelanjakan di gerai tersebut”.

Di samping itu, beliau lebih suka berbelanja menggunakan wang tunai berbanding dengan kad kredit kerana dengan menggunakan wangi tunai, ia dapat membantu mengawal perbelanjaan.

Bagi Hajah Salbiah binti Haji Mahmud, 51, dalam membuat persiapan hari raya ini, perlunya bijak mengatasi perbelanjaan dan membeli apa yang benar-benar diperlukan saja terutama untuk perbelanjaan harian.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi sekarang ini, beliau mengambil langkah untuk berjimat-cermat dengan membuat persiapan hari raya dengan seadanya saja kerana ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran.

“Dengan cara berjimat cermat dan tidak kepada pembaziran ini adalah salah satu cara untuk memperuntukkan bajet dalam bulan Ramadan dan Syawal di mana dalam bulan ini ia memerlukan peruntukan yang lebih berbanding pada bulan-bulan yang lain”.

Memang diakui, sukar me-muaskan hati semua pihak tapi perbuatan berbelanja boros tidak digalakkan dalam Islam tapi jika bijak merancang dan berbelanja, Aidilfitri masih boleh diraikan dengan penuh bergaya.

ARTIKEL YANG SAMA