Kesihatan mulut penting

Kesihatan mulut penting

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Kesihatan mulut merupakan asas kepada keseluruhan kesihatan, kesejahteraan dan kualiti hidup kerana mulut yang sihat membolehkan kita untuk makan, bercakap dan bersosial tanpa rasa sakit, ketidakselesaan atau rasa malu.

Walaupun penjagaan kesihatan mulut semakin canggih, kerosakan gigi merupakan salah satu penyakit yang paling lazim di seluruh dunia, yang memberi kesan negatif kepada berbilion-bilion manusia dalam kehidupan seharian dan memberikan kesan yang signifikan kepada sistem penjagaan kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan berjuta-juta hari kerja dan hari sekolah hilang setiap tahun disebabkan kesihatan mulut yang tidak memuaskan, yang boleh memberi kesan negatif ekonomi dan sosial kepada individu. Merawat penyakit mulut boleh menjadi sangat mahal, dan ia juga boleh memberi kesan negatif ke atas kejayaan kanak-kanak di kemudian hari.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam bersama-sama 130 buah negara lain di seluruh dunia menyertai FDI World Dental Federation (FDI) untuk meraikan Hari Kesihatan Mulut Sedunia hari ini dengan tema ‘Mulut Sihat, Badan Sihat’.

Tema ini bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menitikberatkan bahawa kesihatan mulut yang baik, bukan sahaja setakat mempunyai senyuman yang menarik, malahan pada asasnya berkait rapat dengan kesihatan fizikal dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Tema ini juga sangat releven kepada kita di negara ini memandangkan ia mendukung tiga sasaran utama Kementerian Kesihatan: untuk menjadikan kesihatan sebagai tanggungjawab semua, untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan untuk mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Tidak dinafikan, penjagaan dan kebersihan kesihatan mulut yang baik semestinya bermula daripada setiap individu, termasuklah sebelum dilahirkan. Kajian telah menunjukkan bahawa ibu mengandung yang mempunyai masalah kesihatan dan kebersihan mulut boleh membawa kemudaratan kepada kandungan.

Pada tahun 2012, WHO melaporkan 60 hingga 90 peratus kanak-kanak sekolah telah mengalami kerosakan gigi; 15 hingga 20 peratus orang dewasa berumur 35 hingga 44 tahun mempunyai penyakit periodontal (gusi) yang teruk; dan 30 peratus orang dewasa berumur antara 65 hingga 74 tahun telah kehilangan semua gigi semula jadi mereka sama ada disebabkan oleh kerosakan gigi atau penyakit gusi.

Di Negara Brunei Darussalam, data yang diperolehi dari Bahagian Perkhidmatan Pergigian Sekolah-Sekolah, Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, menunjukkan secara purata seorang kanak-kanak berumur lima tahun mempunyai empat batang gigi yang berlubang, hilang atau bertambal manakala seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mempunyai sebatang gigi yang berlubang, hilang atau bertambal.

Manakala data dari Pemeriksaan Kesihatan Bersepadu (Integrated Health Screening) bagi Kakitangan Awam 2007-2010, jumlah kerosakan gigi yang tidak dirawat adalah tinggi (59 peratus) dalam kalangan orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun.

Kementerian Kesihatan telah melaksanakan fasa kanak-kanak bagi Kajiselidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2015-2017 (National Oral Health Survey 2015-2017) dan Insya Allah pelaksanaan kajiselidik fasa dewasa akan dilakukan pada akhir tahun ini.

Hasil kajiselidik tersebut akan memberi petunjuk yang lebih baik dan terkini mengenai status kesihatan mulut di negara ini, yang akan membolehkan perancang dan pembuat dasar merancang secara strategik dan memperbaiki perkhidmatan yang disediakan.

Dengan penglibatan semua pihak yang berkepentingan, kita boleh mencapai salah satu sasaran Kementerian Kesihatan untuk mencapai Wawasan 2035 iaitu secara purata seorang kanak-kanak berumur lima tahun mempunyai sebatang gigi berlubang, hilang atau bertambal manakala seorang kanak-kanak berusia 12 tahun tidak mempunyai gigi yang berlubang, hilang atau bertambal.

Keutamaan ibu bapa dalam pemakanan anak damit seperti penyusuan ibu dan penyusuan botol boleh memberi kesan yang berbeza kepada kesihatan mulut dan keseluruhan anak-anak mereka. Kajian juga telah membuktikan penyusuan botol akan menyebabkan kerosakan gigi dan susunan gigi yang tidak teratur di peringkat awal umur mereka.

Sehubungan itu, penyusuan ibu masih menjadi pemakanan terbaik dan yang disyorkan. Pendidikan adalah penting bagi ibu bapa dalam membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik – Kita semua mesti menjaga kesihatan dan kebersihan mulut. Kesihatan mulut dan kesihatan secara keseluruhan berkait rapat disebabkan faktor-faktor risiko yang sama dan perlu dipertimbangkan secara menyeluruh.

ARTIKEL YANG SAMA