Kesihatan ora...

Kesihatan oral masih rendah

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Kadar kerosakan gigi dalam kalangan rakyat Negara Brunei Darussalam agak tinggi iaitu 59 peratus dalam kalangan orang dewasa berusia 18 hingga 24 tahun, manakala secara purata dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun, kehilangan/kerosakan empat batang gigi manakala kanak-kanak berusia 12 tahun kehilangan/kerosakan satu batang gigi.

Statistik kadar kerosakan gigi itu diperoleh melalui Saringan Kesihatan Bersepadu Kakitangan Awam dari tahun 2007 hingga 2010.

Ini menunjukkan bahawa kesihatan oral/mulut dan kesihatan secara keseluruhan adalah berkait rapat terutamanya dari segi risiko lazim yang seharusnya dipertimbangkan secara holistik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusan sempena Hari Kesihatan Oral Sedunia yang disambut pada 20 Mac menyentuh mengenai perkara tersebut.

Negara Brunei Darussalam bersama-sama 130 buah negara dari seluruh dunia meraikan Hari Kesihatan Oral Sedunia bertemakan ‘Live Mouth Smart’ yang berusaha memperkasa orang ramai mengawal kesihatan oral mereka sepanjang hayat, agar mereka boleh menikmati mulut yang sihat dan berfungsi daripada usia kanak-kanak sehinggalah tua.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain, antara risiko lazim ialah diet daripada makanan dan minuman yang mengandungi gula, merokok atau penggunaan tembakau dan bahan-bahan lain mengakibatkan kanser serta pengambilan alkohol yang berlebihan. Risiko ini berkaitan rapat dengan penyakit oral dan penyakit tidak berjangkit lain seperti kardiovaskular, barah dan diabetes.

Untuk itu, kita perlu menghindarkan risiko tersebut melalui pencegahan awal kerosakan gigi, penyakit gusi dan barah oral dengan meningkatkan penjagaan oral bersesuaian. Penjagaan ini adalah termasuklah memberus gigi dua kali sehari selama dua minit dengan ubat gigi yang mengandungi 1,100 hingga 1,450 ppm flourida, mengehadkan makanan dan minuman manis, sentiasa melakukan pemeriksaan gigi, mengehadkan pendedahan kepada matahari, menghindari rokok dan mengurangkan risiko jangkitan Human Papilomavirus (HPV) dan memilih penyusuan susu ibu bagi anak damit untuk membantu menghalang penyakit oral ini.

Manakala cara paling berkesan mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini adalah melaksanakan penyebatian flourida dalam bekalan air dalam kalangan masyarakat yang menggunakan pengaruh perlindungan flourida.

Lebih 60 tahun penyelidikan daripada 200 kajian saintifik di kebanyakan tempat di seluruh dunia membuktikan bahawa penyebatian flourida dalam bekalan air adalah penting bagi meningkatkan status kesihatan penduduk yang menerima air berflourida. Air ini mengurangkan kerosakan gigi sepanjang hayat daripada 20 hingga 40 peratus serta mengurangkan peratusan orang yang tiada gigi semula jadi.

Peningkatan status kesihatan oral daripada penyebatian flourida dalam bekalan air ini juga dapat dilihat dalam kalangan rakyat negara ini berdasarkan Tinjauan Kesihatan Oral Kebangsana Brunei (1999) dan dari tahun 2015 hingga 2017.

Menteri Kesihatan menegaskan bahawa penyakit oral/mulut ini boleh dicegah dan hidup dengan cara mulut pintar, amat digalakkan.

Beliau turut menyeru rakyat dan setiap orang daripada kita untuk memainkan peranan menjaga kesihatan sebaiknya, sejajar dengan tema tahun ini, kementerian akan terus memberikan sokongan penuh untuk menjadikan kesihatan keutamaan setiap orang, bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan mencegah serta mengawal penyakit tidak berjangkit.

Menurutnya lagi, kementeriannya komited bekerjasama dengan stakeholder untuk mengukuhkan semua program kesihatan oral dan aktiviti yang dilakukan di negara ini dalam menyemai sikap penjagaan oral yang baik dari usia muda lagi, bagi membolehkan kita semua mempunyai mulut dan senyuman yang sihat, bak kata pepatah, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat.