Kesihatan Raja Thailand ‘tidak stabil’

Kesihatan Raja Thailand ‘tidak stabil’

BANGKOK, 10 Okt – Para doktor yang merawat Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej di hospital telah menempatkan raja yang sedang sakit di ruangan pengalihan udara minggu ini, menurut pihak istana semalam, dengan menambah bahawa kesihatan raja berusia 88 tahun itu ‘tidak stabil’.

Raja Bhumibol adalah raja yang paling lama memerintah di dunia dan begitu disayangi oleh kebanyakan rakyat di Thailand. Tetapi baginda tidak dilihat di khalayak ramai hampir setahun ketika baginda menghidap beberapa penyakit dan dirawat di hospital Bangkok.

Dari segi sejarah, pihak istana telah mengawal ketat berita tentang kesihatan baginda dan sukar untuk memastikan keadaan baginda secara menyeluruh.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan pihak istana telah mula mengeluarkan kemas kini yang lebih kerap yang menyatakan tentang siri-siri masalah besar kesihatan termasuklah kegagalan buah pinggang.

Dalam tempoh dua tahun lalu baginda juga dirawat bagi jangkitan bakteria, mengalami kesukaran bernafas, masalah jantung dan hidrosefalus – pertambahan cecair cerebrospinal iaitu berkaitan saraf tunjang dan otak yang kerap dirujuk sebagai ‘air dalam otak’.

Gambar fail 10 Mei 2015 menunjukkan Raja Bhumibol Adulyadej meninggalkan Hospital Siriraj di Bangkok untuk kembali ke istana tepi pantai selepas baginda dimasukkan ke hospital sejak Oktober 2014 apabila pundi hempedu dikeluarkan. – AP
Gambar fail 10 Mei 2015 menunjukkan Raja Bhumibol Adulyadej meninggalkan Hospital Siriraj di Bangkok untuk kembali ke istana tepi pantai selepas baginda dimasukkan ke hospital sejak Oktober 2014 apabila pundi hempedu dikeluarkan. – AP

Kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh Biro Keluarga Diraja petang semalam mengatakan alat pengalihan udara telah digunakan selepas tekanan darah baginda menurun ekoran prosedur untuk mempersiapkan baginda bagi dialisis dan menukar tiub yang membantu mengeluarkan cecair dari tulang sum-sum baginda.

“Pasukan perubatan sedang memerhati simptom yang baginda alami dan memberikan rawatan serta penjagaan sepenuhnya kerana keseluruhan simptom penyakit baginda masih tidak stabil,” menurut kenyataan itu lagi.

Pemerintahan baginda berterusan tujuh dekad dan kesihatan baginda yang mudah terganggu adalah punca kebimbangan terbuka bagi rakyat Thailand, kebanyakannya yang tidak pernah mengalami kehidupan di bawah pemerintahan raja lain. Baginda juga dilindungi oleh salah satu undang-undang fitnah diraja paling keras di dunia, yang telah pernah memenjarakan ramai penduduk Thailand kerana mengkritik pemerintahan beraja.

Para penganalisis berkata kegelisahan berakhirnya pemerintahan Bhumibol telah memburukkan konflik politik pada dekad lalu di Thailand, dengan pihak elit berebut untuk menjadi berpengaruh. – AFP