Kesihatan tetap diberi keutamaan

Kesihatan tetap diberi keutamaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Dalam suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri yang telah memasuki hari ke-6, mereka yang gemar melaksanakan aktiviti kesihatan mula ke Taman Peranginan Tasek Lama pada waktu petang.

Dalam tinjauan ke taman riadah berkenaan, wartawan Media Permata bertemu dengan seorang warga emas berusia 60an, yang merupakan pengunjung tetap taman berkenaan, Awang Robert Woo, memberitahu jumlah mereka yang menjalankan aktiviti kesihatan di sana mula bertambah semalam setelah sunyi selama sebulan berpuasa Ramadan.

Beliau yang tinggal di ibu negara datang ke taman berkenaan dua kali sehari di sebelah pagi dan petang atau jika tidak beliau pasti akan terus membuat aktiviti lain seperti berlari, taici atau trek hutan di lokasi lain.

Awang Robert Woo merupakan pengunjung tetap Taman Peranginan Tasek Lama, yang datang dua kali sehari di sebelah pagi dan petang.
Awang Robert Woo merupakan pengunjung tetap Taman Peranginan Tasek Lama, yang datang dua kali sehari di sebelah pagi dan petang.
Awang Robert Woo berkata pengunjung ke Taman Perangunan Tasek Lama mula bertambah selepas sebulan Ramadan.
Awang Robert Woo berkata pengunjung ke Taman Perangunan Tasek Lama mula bertambah selepas sebulan Ramadan.
Suasana di Taman Peranginan Tasek Lama lewat petang kelmarin.
Suasana di Taman Peranginan Tasek Lama lewat petang kelmarin.

Menurut beliau, taman itu merupakan destinasi kegiatan fizikal dan kesihatan yang terbaik dan menyeronokkan.

Katanya, beliau mula aktif dengan aktiviti fizikal dan kecergasan sejak zaman kanak-kanaknya lagi pada tahun 1960-an kerana beliau sememangnya gemar berlari di sekitar Bandar Seri Begawan bersama rakan-rakan lain.

“Kita perlu bersyukur kerana warga negara ini kini lebih cenderung menjaga kesihatan selepas waktu bekerja dan trend itu bakal kembali semula mungkin besok atau lusa ekoran Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kini masih hangat dirasakan.

“Petang semalam, pada raya kelima, sudah mula menampakkan jumlah yang banyak begitu juga pagi tadi, namun di sebelah petang hari ini jumlah sedikit kurang kerana aktiviti keagamaan di malam Jumaat, namun saya yakin ia pasti akan bertambah besok kerana ada yang mula mengisi masa bersama keluarga di sini,” ujarnya

Beliau meluahkan perasaan berbesar hati melihat rakan-rakan lain kembali menjalankan aktiviti fizikal harian dan ini membuktikan orang kita sememangnya menyeri kepentingan kesihatan dan mengingatkan supaya rakan yang beragama Islam khususnya untuk tidak berlebih-lebihan dalam menikmati jamuan.

“Kesihatan adalah kunci kebahagiaan kerana pada saya jika kita sihat hari-hari kita pasti ceria dan positif dan amalan inilah yang perlu kita amalkan kerana ia bukan sahaja memberi impak positif kepada aktiviti harian malah kepada kesejahteraan masing-masing,” tekan beliau.

Seorang lagi pengunjung warga emas yang tidak mahu dikenali berkata kemudahan yang disediakan pihak kerajaan menepati keperluan mereka yang ingin membuat aktiviti fizikal dan adalah perlu kita memanfaatkan dan menjaga kesejahteraannya sebaik mungkin.

“Setakat ini keadaan di sini sangat memuaskan kerana tiada vandalisme dan kerosakan yang teruk dan ini membuktikan penggunaan optimum akan kemudahan ini,” katanya.

Menurutnya, soal fizikal adalah yang kedua kerana kesihatan adalah yang menjadi tujuan utama kenapa kita terlibat sama dengan acara aktiviti fizikal harian di sana dan mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan semula semua warga Brunei untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil sedikit masa untuk aktiviti kesihatan.

Dalam kesempatan itu, kedua-dua mereka mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Brunei, khususnya kepada mereka yang sering datang ke Tasek Lama.

ARTIKEL YANG SAMA