Kesilapan di Monaco, Mercedes lakukan inkuiri

Kesilapan di Monaco, Mercedes lakukan inkuiri

LONDON, 27 Mei (Reuters) – Penyandang juara Formula Satu, Mercedes AMG Petronas cuba menyelesaikan masalah teknikal yang tidak diketahui puncanya sebaik sahaja mereka pulang ke kilang pasukan selepas melakukan kesilapan strategi terbesar dalam Grand Prix Monaco.

Walaupun pasukan itu masih tetap memenangi pelumbaan Ahad lalu menerusi pemandu Jerman, Nico Rosberg yang meraih kejayaan kali ketiga berturut-turut, tetapi kegagalan mereka memastikan Lewis Hamilton meneruskan dominasi dalam perlumbaan tersebut menjadi tumpuan.

Hamilton memastikan perlumbaan tersebut berada di bawah kawalannya, sehinggalah kereta keselamatan dibawa masuk ketika saingan berbaki 14 pusingan dan pemandu Britain itu telah diarahkan melakukan pitstop yang tidak perlu pada ketika para pencabarnya masih berada di litar.

Juara dunia itu menamatkan saingan di tempat ketiga, namun masih mendahului dalam senarai keseluruhan pemandu dengan kelebihan 10 mata di depan Rosberg.

Ketua Sukan Permotoran Mercedes, Toto Wolff berkata, pasukannya telah melaksanakan sesi soal jawab secara menyeluruh yang melibatkan 100 kakitangan yang bertugas di kilang, bahagian enjin dan operasi trek kelmarin.

“Kami telah berbincang secara menyeluruh dan berkumpul semula pada pagi Selasa (semalam) untuk menganalisis masalah yang berlaku dan selepas itu kami jangka dapat mengenal pasti punca masalah,” kata Wolff kepada pemberita.

Hamilton, bagaimanapun diberi kebenaran untuk tidak menghadiri perjumpaan selepas perlumbaan dan pertemuan dengan pasukan media di Monaco, selepas pemandu itu sendiri bergelut untuk memahami insiden yang berlaku.

Malah bukan sahaja Hamilton yang berasa hairan, tetapi bekas pelumba, David Coulthard antara mereka yang berpendapat pemandu tersebut sudah pasti menjadi individu paling kecewa ekoran insiden berkenaan.

Wolff berkata, Hamilton ada mengadu tentang keadaan tayar jenteranya pada ketika itu dan mendorong kepada keputusan pasukannya untuk membuat pitstop.

Mereka menjangkakan masa yang ada mencukupi untuk berada di pit dan kembali menyertai perlumbaan di kedudukan pendahulu, tetapi ternyata telahan itu silap apabila bacaan GPS jentera melakukan perkiraan yang tidak tepat.

ARTIKEL YANG SAMA