Kesukaran masuki pasaran pekerjaan

Kesukaran masuki pasaran pekerjaan

SINGAPURA 2 Nov – Golongan yang baru memasuki pasaran pekerjaan di Singapura kini menghadapi keadaan sukar, dengan kadar pengangguran bertambah bagi pekerja lebih muda.

Kadar pengangguran bagi golongan umur bawah 30 tahun meningkat kepada 4.3 peratus pada September tahun lalu, daripada 3.9 peratus setahun sebelum itu, menurut data daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Sebaliknya, kadar pengangguran bagi semua peringkat umur meningkat sedikit sahaja, daripada 2.2 peratus kepada 2.3 peratus dalam tempoh sama.

Antara beberapa sebab berlakunya pengangguran terhadap golongan muda meningkat ialah kelembapan ekonomi, yang membuat majikan lebih teragak-agak untuk menggajikan pekerja.

Daripada 665 majikan yang dikaji selidik oleh firma perekrut ManpowerGroup September lalu, hanya 16 peratus meramal peningkatan dalam jumlah kakitangan dalam tempoh Oktober hingga Disember, lebih rendah daripada 19 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

“Sejak awal tahun ini, syarikat berhati-hati mengenai menggajikan pekerja kerana kejatuhan harga minyak dan kelembapan ekonomi di China,” kata Linda Teo, pengurus negara ManpowerGroup Singapura, lapor akhbar The Straits Times.

Anggaran awal daripada MOM juga menunjukkan pengangguran bagi warga Singapura meningkat kepada 3.1 peratus pada September.

Ia mengatakan ekonomi negara ini sedang menghadapi ketidaktentuan pada jangka pendek kerana prospek bagi rakan dagangan utama Singapura masih suram.