Kesulitan pelanggan diminimumkan

Kesulitan pelanggan diminimumkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Berita mengenai penutupan HSBC Brunei mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai termasuk pelanggan dan pemegang akaun bank berkenaan, yang mana rata-ratanya menyatakan perasaan terkejut dengan berita berkenaan malah sedih dengan penutupan sebuah bank yang sudah sekian lama beroperasi di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengesahkan bahawa pihak HSBC Brunei telah memaklumkan AMBD mengenai penutupan operasi bank itu di Brunei berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, AMBD berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak HSBC Brunei dalam memastikan para pelanggan dan kakitangannya akan sentiasa dimaklumkan dengan perkembangan dan rancangan HSBC Brunei dari semasa ke semasa.

Menurut AMBD, keputusan HSBC merupakan sebahagian daripada strategi globalnya untuk memberikan fokus terhadap operasi perniagaan yang besar dan bukannya disebabkan oleh persekitaran ekonomi di negara ini.

“HSBC telah menjual atau menutup operasi perniagaan di 83 buah negara sejak tahun 2011, termasuk penjualan operasi perniagaannya di Brazil pada tahun lepas.

HSBC

“Walau bagaimanapun, prestasi kewangan HSBC Brunei adalah kukuh dan memuaskan dengan merekodkan peningkatan keuntungan sebanyak 11.4% iaitu daripada $25.7 juta pada tahun 2014 kepada $28.7 juta pada tahun 2015.

“AMBD akan terus bekerjasama dengan pihak HSBC Brunei dalam memastikan bahawa gangguan kepada para pelanggan, kakitangan, sektor kewangan, dan ekonomi Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap minimum,” kata AMBD.

Sementara itu, dalam ruangan soalan yang sering ditanya mengenai penutupan operasinya di laman sesawangnya, HSBC Brunei menyatakan bahawa pada masa ini, mereka belum lagi dapat memberikan jangka masa yang tepat bagi proses pengurangan operasi di Brunei.

“Walau bagaimanapun, pihak kami akan menghubungi kesemua pelanggan secara berperingkat bagi pengurusan selanjutnya.”

Bagi persoalan mengenai perkara yang terjadi kepada pelanggan HSBC sedia ada, ia menyatakan bahawa pihak HSBC akan terus memberikan perkhidmatan kepada para pelanggan mereka sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti dan akan berusaha untuk mengurangkan kesulitan kepada pelanggan yang sedia ada.

Pihak bank berkenaan juga akan sedaya upaya membantu pelanggan untuk memindah kewangan mereka ke bank lain pelanggan.

Menurut HSBC, kontrak yang sedia ada akan ditunaikan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti. Walau bagaimanapun, kami tidak akan menerima pelanggan baru atau pinjaman baru.

Menyentuh mengenai deposit pelanggan, bank itu berkata, semua deposit pelanggan adalah selamat.

Bagaimanapun pihak bank akan memaklumkan kepada pelanggan supaya memindahkan deposit mereka ke akaun bank alternatif pilihan mereka pada satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Mengenai dengan pinjaman pelanggan, HSBC menjelaskan bahawa para pelanggan akan diberitahu untuk memindahkan kesemua akaun dan kemudahan mereka ke bank baru. HSBC akan berusaha untuk menolong pelanggan yang terbabit semasa peralihan ini.

“Kami menggalakkan biskita untuk berbincang dengan bank-bank lain untuk mencari kaedah yang terbaik untuk biskita.”

Kepada persoalan apa yang pelanggan perlu lakukan sekarang, HSBC berkata, kesemua pelanggan akan menerima pemberitahuan melalui surat disertai dengan susulan panggilan telefon yang akan dilakukan secara berperingkat dan para pelanggan juga digalakkan untuk mencari bank lain sebagai alternatif untuk mengambil-alih akaun dan kemudahan mereka.

Bagi mereka yang mempunyai akaun atau kemudahan HSBC di negara lain, ia adalah tidak terjejas kerana proses berkenaan hanya untuk akaun atau kemudahan perbankan dengan HSBC Brunei sahaja.

Kenyataan juga menyatakan bahawa kesemua kemudahan atau perkhidmatan seperti ATM, PIB dan perbankan telefon akan beroperasi seperti biasa sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Semua cawangan dan pusat panggilan akan beroperasi sepenuhnya seperti biasa sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.”

Di akhir kenyataan itu, HSBC Brunei menyarankan kepada pelanggan-pelanggan mereka untuk mengunjungi cawangan berdekatan atau menghubungi talian hotline di 2252252 bagi maklumat lebih lanjut serta memohon maaf atas sebarang kesulitan.

ARTIKEL YANG SAMA