Ketahui bahaya dadah

Ketahui bahaya dadah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Dalam usaha untuk memberikan penerangan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan jenis-jenis dadah yang disalahgunakan di negara ini, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB).

Ceramah pendidikan yang berlangsung di Dewan Jubli, UNISSA pagi tadi, telah disampaikan oleh Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah, Biro Kawalan Narkotik, Dayang Eve Sulrianah binti Sulaiman.

Ceramah bertajuk ‘Taklimat Pendidikan Pencegahan Dadah 2016’ itu telah dihadiri lebih 180 orang mahasiswa dan mahasiswi dari tahun pertama Semester 2, 2015/2016.

Dayang Eve Sulrianah dalam ceramahnya menyentuh mengenai jenis-jenis dadah yang disalahgunakan di negara ini seperti Methylamphetamine (syabu), ganja (marijuana), ecstasy, inhalan dan heroin.

Beliau menyatakan bahawa dadah yang paling dikenali dan disalahgunakan di negara ini ialah Methylamphetamine (syabu) dan ganja (marijuana).

Dayang Eve Sulrianah semasa menyampaikan ceramahnya.
Dayang Eve Sulrianah semasa menyampaikan ceramahnya.
Antara mahasiswa UNISSA yang hadir.
Antara mahasiswa UNISSA yang hadir.

Menurut beliau, syabu merupakan dadah Kelas A yang juga boleh dikenali sebagai Ice, Kaca, Kristal, Batu, Gula, Tawas, Ajinomoto atau Nasi Lemak. Syabu juga adalah dadah sintetik iaitu dadah buatan manusia yang mengandungi kimia berbahaya.

Dayang Eve Sulrianah menjelaskan, mana-mana individu yang memiliki dadah terkawal Methylamphetamine akan dikenakan denda maksima 10 tahun atau denda $20,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua akan dikenakan minima tiga tahun.

Beliau juga menekankan bahawa bagi mereka yang mengedar dadah lebih daripada 50 gram akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Methylamphetamine jika digunakan akan memberikan kesan pada otak dan antara kesan jangka masa terdekat ialah seperti hiperaktif, kuat bercakap, membuat sesuatu berulang-ulang, kemurungan, gelisah, keletihan, syak wasangka tanpa sebab atau menjadi ganas. Ia juga akan merosakkan sel-sel gigi dan enamel kerana syabu terdiri daripada komponen asid.

Ketika menjelaskan mengenai ganja (marijuana), beliau berkata ia juga merupakan dadah Kelas A, yang juga dikenali sebagai Sayur, Rumput, Grass, Weed, Joint, Pot atau ‘G’.

Bagi mana-mana individu yang menggunakan ganja akan menyebabkan perut mengeluarkan asid perut berlebihan yang boleh menyebabkan bisul dalam perut.

Manakala itu, ecstasy yang juga merupakan dadah Kelas A, pula boleh dikenali sebagai X, XTC, Adam, Eve, Love atau Pil Kuda Gila.

Beliau kemudian menjelaskan lagi jenis-jenis dadah yang lain sebelum mengakhiri ceramah beliau dengan sesi soal jawab.

Penyalahgunaan dadah terbukti menjadi masalah utama sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini.

Ceramah ini juga bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada para pelajar mengenai kesan-kesan mengambil dadah, hukuman dan undang-undang yang akan dijatuhkan kepada mereka yang terlibat dengan pengedaran dan penggunaan dadah serta kesan kepada kesihatannya.