Ketahui hak suami dan isteri selepas bercerai

Ketahui hak suami dan isteri selepas bercerai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dengan kerjasama Tetuan Yusof Halim & Partners telah mengadakan Siri Bicara Undang-undang yang bertajuk ‘Hak-hak Suami dan Isteri Selepas Perceraian’ yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, petang tadi.

Siri bicara yang diadakan kali ke-3 itu telah disampaikan oleh Peguam Syarie Yusof Halim & Partners, Awang Azril Anwar bin Ahmad.

Dalam ceramahnya, Awang Azril Anwar telah menggariskan beberapa hak-hak suami dan isteri iaitu hak suami dalam harta sepencarian dan hak jagaan anak, manakala hak isteri pula ialah dalam nafkah Iddah, Mut’ah, hak sepencarian, hak jagaan anak dan nafkah anak.

Awang Azril Anwar kemudian menjelaskan bahawa nafkah Iddah ialah nafkah yang wajib ke atas bekas suami bagi bekas isterinya yang telah diceraikan dalam masa Iddah dengan syarat-syarat tertentu.

Beliau menjelaskan lagi bahawa kelayakan seorang isteri atau bekas isteri untuk mendapatkan nafkah Iddah ialah semasa cerai talak raj’ie (talak yang boleh dirujuk) dan cerai talak bain (talak yang tidak boleh dirujuk) untuk isteri yang hamil dan tempoh nafkah Iddah ialah selama tiga bulan.

Awang Azril Anwar semasa menyampaikan ceramahnya dalam Siri Bicara Undang-undang, petang kelmarin.
Awang Azril Anwar semasa menyampaikan ceramahnya dalam Siri Bicara Undang-undang, petang kelmarin.
Antara yang hadir mendengar ceramah Hak-hak Suami dan Isteri Selepas Perceraian dalam Siri Bicara Undang-undang.
Antara yang hadir mendengar ceramah Hak-hak Suami dan Isteri Selepas Perceraian dalam Siri Bicara Undang-undang.

Seterusnya beliau menjelaskan mengenai dengan Mut’ah yang bertujuan untuk dapat mengelakkan sebarang umpatan atau kata-kata yang kurang baik terhadap suami atau isteri di samping meringankan beban yang ditanggung oleh seorang bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya.

Kadar Mut’ah itu tidak mempunyai jumlah yang ditetapkan di dalam Al-Quran mahupun undang-undang.

Dalam siri bicara petang tadi itu, beliau turut menyentuh mengenai dengan harta sepencarian, di mana menurut Bab 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Auki), ia bermaksud harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Sementara itu, pembahagian harta sepencarian pula ialah sumbangan secara langsung dan tidak langsung serta kadar pembahagiannya juga tidak ditetapkan secara khusus dalam Auki, tetapi persetujuan daripada kedua-dua pihak adalah jalan terbaik dalam pembahagian harta tersebut.

Siri bicara tersebut telah dihadiri lebih 30 orang terdiri daripada orang awam dan juga penuntut institusi pengajian tinggi.