Ketahuilah ubat anda

Ketahuilah ubat anda

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 22 Sept – Dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan memberigakan perkhidmatan-perkhidmatan farmasi kepada orang ramai, Jerayawara Farmasi telah diadakan pagi tadi di Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong, Kampung Serambangun.

Dengan bertemakan ‘Ketahui Ubat Awda-Tanyalah Ahli Farmasi’, Penyelaras Bersama Jerayawara Farmasi, Haji Khalid bin Haji Zolkipli menjelaskan jerayawara tersebut diadakan bersempena Kempen Ke-bangsaan Membanteras Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit 2014 dan Hari Ahli Farmasi Sedunia 2014 yang diadakan pada setiap 25 September.

Haji Khalid menjelaskan antara objektif jerayawara itu ialah untuk memberigakan mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Farmasi serta meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai ubat-ubatan, produk kesihatan dan produk kosmetik termasuk peraturan-peraturan pengawalan penjualan dan pengimportan.

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan tahap kepatuhan kepada rawatan ubat dan mengurangkan pembaziran ubat, untuk mempromosikan profesion farmasi dan untuk mengadakan sesi interaktif yang berkaitan dengan ubat-ubatan bersama orang ramai.

Jerayawara yang dijalankan itu menyaksikan beberapa pameran, ceramah, serta membukakan sesi interaktif bersama ahli farmasi.

Ceramah mengenai Kepatuhan terhadap Ubat-Ubatan disampaikan oleh salah seorang pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Farmasi.
Ceramah mengenai Kepatuhan terhadap Ubat-Ubatan disampaikan oleh salah seorang pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Farmasi.

Enam tajuk ceramah telah disampaikan oleh pegawai-pegawai di bawah Jabatan Perkhidmatan Farmasi iaitu mengenai ‘Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi’, ‘Cara Penggunaan dan Penyimpanan Ubat yang Betul’, ‘Ubat Generik’, ‘Kepatuhan terhadap Ubat-Ubatan’, ‘Waspada dengan Penggunaan Produk Kesihatan’ dan ‘Penggunaan Produk Kosmetik yang selamat’.

Menurut Haji Khalid lagi, sebelum ini, jerayawara seumpamanya pernah diadakan di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong serta menyatakan harapan agar para pengunjung akan dapat memanfaatkan dan menyebarkan kepada orang sekeliling mereka mengenai pentingnya memakan ubat mengikut peraturan dan jangan disalahgunakan dengan penggunaan produk kesihatan mahupun produk kosmetik.

Hadir semasa jerayawara itu ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Tutong, penjawat awam dan penuntut-penuntut sekolah khusus bagi Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA