Ketamadunan Brunei dalam Seminar Internasional Kepulauan Natuna

Ketamadunan Brunei dalam Seminar Internasional Kepulauan Natuna

Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong

Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

 

SEBAGAIMANA titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada awal tahun Masihi 2016 semasa berangkat ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Bahawa kita jangan lupa dasar luar kah atau dasar dalam kah, paksinya ialah MIB. Beta tegaskan di sini MIB bukanlah ia untuk tahan-tahan dalam negara sahaja tetapi juga untuk di bawa ke luar. Bertolak dari MIB inilah, kita akan menghulurkan tangan kepada semua orang untuk bersahabat dan berbaik-baik dengan siapa jua. Kita mesti tunjukkan kepada dunia akan keluhuran MIB bukan menapukkan. Sebagai menyahut titah ini serombongan 9 orang dari Negara Brunei Darussalam telah menghadiri Seminar Internasional, yang bertema Tamadun Melayu dan Transformasi Masyarakat Ekonomi ASEAN: Perspektif Natuna Cerdas, Mandiri dan Berkeadaban, pada 29 Muharram 1438 bersamaan 30 Oktober 2016. Rombongan ini terdiri dari penulis sendiri dari Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, pensyarah-pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam dan golongan akademik secara persendirian.

Penyertaan ini bukan sahaja sebagai satu usaha untuk memperkenalkan dan juga menyebarluaskan kefahaman masyarakat luar mengenai kewalihan MIB yang menjadi acuan kepada ketuanan rumpun Melayu di Negara Brunei Darussalam bahkan juga sebagai langkah pengkongsian ilmu untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta mewujudkan kerjasama yang lebih padu dalam bidang sosio-ekonomi dan budaya. Secara tidak langsung pembentangan kertas kerja dan pertukaran maklumat dalam seminar yang dihadiri oleh perserta di kalangan masyarakat ASEAN ini telah mewujudkan satu kesatuan dan kesefahaman serta semangat hormat menghormati dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara selaras dengan visi ASEAN.

Dalam seminar yang berlangsung selama dua hari tersebut para peserta dari negara luar bukan sahaja berkesempatan mempelajari dan memperolehi maklumat mengenai sejarah ketamadunan Melayu di Kepulauan Natuna bahkan juga mendalami lagi tentang kekayaan hasil bumi serta dan budaya masyarakat Melayu di Kepulauan tersebut. Seminar ini secara tidak langsung telah dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim yang memang wujud sekian lama sebelum ini dalam bidang budaya dan ekonomi sesuai dengan kedudukan kepulauan Natuna di tengah-tengah Laut China Selatan yang menjadi penghubung antara masyarakat ASEAN.

Sebagaimana dimaklumi tema Seminar Tamadun Melayu di Natuna yang memfokuskan kepada Transformasi Ekonomi Masyarakat ASEAN adalah satu agenda penting bagi mewujudkan ekonomi daya saing bukan sahaja untuk pembangunan Kepulauan Natuna bahkan juga di kalangan masyarakat ASEAN sekali gus mengukuhkan dan mengeratkan kerjasama di bidang sosial dan ekonomi. Perkara ini telah dinyatakan oleh tetamu kehormat Seminar Internasional, Bapak Drs. H. Abdul Hamid Rizal, Bupati Natuna pada 30 Oktober 2016 di Dewan Sekolah Tinggi Agama Islam, Natuna. Seminar ini sebagai satu langkah pembangunan Natuna yang bersandarkan ketamadun Melayu Islam.

Pada hari kedua seminar, para peserta telah dibawa melawat ke beberapa tempat menarik sebagai usaha memperkenalkan Kepulauan Natuna sebagai pusat pelancongan Islam melalui kewujudan tempat-tempat bersejarah dan menarik seperti pantai-pantai yang indah dan bersih serta pulau-pulau yang menghijau dengan keindahan alam semua jadi yang belum tercemar oleh proses pembangunan fizikal. Kepulauan Natuna juga memang kaya dengan hasil alam semulajadi termasuk kehidupan tradisi masyarakat Melayu di Kampung Ayer di Pulau Sedanau iaitu kira 30 minit perjalanan menggunakan feri dari Pulau Natuna. Keaslian dan pengekalan warisan tradisi tamadun Melayu di Pulau Sedanau menggambarkan budaya masyarakat Melayu di zaman silam. Hal ini jelas tergambar berdasarkan lawatan sehari rombongan dari Brunei ke pulau tersebut. Dengan lain perkataan, cara hidup masyarakat Melayu di Kampung Ayer di Pulau Sedanau didapati bersamaan dengan kehidupan masyarakat Kampong Ayer Brunei.

Rombongan Brunei telah mengadakan lawatan ke Sedanau untuk bertemu dengan penduduknya yang berasal dari Brunei yang masih mengamalkaan nilai-nilai Melayu Brunei.
Rombongan Brunei telah mengadakan lawatan ke Sedanau untuk bertemu dengan penduduknya yang berasal dari Brunei yang masih mengamalkaan nilai-nilai Melayu Brunei.

Antaranya masyarakat di sini masih mengamalkan ciri kehidupan tradisi masyarakat Brunei zaman silam terutama dalam hubungan hidup bermasyarakat dan berbudaya bahkan juga dari aspek jenis mata pencarian. Ciri-ciri keperibadian MIB di negara kita seperti ‘Awar galat,’ murah hati, bersopan santun, rajin, mematuhi adat dan sebagainya masih kekal diamalkan di Pulau Sedanau.

Berdasarkan pengamatan dan interaksi rombongan dengan penduduk-penduduk di Kampung Ayer di Pulau Sedanau ini, didapati bahawa pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang disediakan adalah lebih teratur, terancang dan tersusun contohnya sistem pembuangan sampah. Sementara sistem perhubungan dari segi susunan perumahannya yang sejajar dan pembinaan jalannya kelihatan lebih selamat dan kukuh. Dalam hal ini, terdapat persamaan nilai-nilai kehidupan masyarakat Melayu di Pulau Sedanau dengan masyarakat Melayu Brunei di Kampung Ayer.

Berdasarkan hasil perbincangan dan pertemuan singkat dengan keluarga Pengiran Suryadi yang mengakui bahawa keturunannya berasal dari Brunei yang datang ke kepulauan ini lebih kurang 200 tahun yang lalu bahawa masyarakat di Pulau Sedanau masih mengamalkan budaya kemelayuan antaranya dari segi budaya dan adat istiadat dalam majlis perkahwinan, bertahlil, majlis keramaian dan sebagainya. Amalan memucang-mucang atau sikap tolong menolong dan ‘baurung-urung’ dalam apa jua aktiviti yang melibatkan masyarakat kampung masih membudaya dan diamalkan. Masyarakat di sini masih berpegang kepada amalan tradisi yang penuh beradat, bersopan dan berbahasa dalam hubungan kekeluargaan serta bermasyarakat.

Contohnya dalam majlis perkahwinan mereka sangat menekankan kepentingan cara hidup berkeluarga dan berjiran iaitu sama-sama turun padang bagi menjayakan majlis yang akan diadakan. Konsep bermesyuarah, bermuafakat dan bergotong-royong seperti ‘Aur dengan tebing’ diutamakan dalam setiap aktiviti yang hendak dilaksanakan misalnya mendirikan khemah, membaiki pantaran rumah atau jambatan, memotong daging dan penyediaan bahan keperluan majlis, atau memasak makanan untuk majlis yang hendak diadakan dilakukan secara bekerjasama.

Semangat kekeluargaan

Justeru, setiap anggota masyarakat sama ada yang jauh atau yang dekat akan menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi menjayakan majlis tersebut berdasarkan semangat kekeluargaan dan kejiranan. Amalan seperti ini juga pernah diamalkan oleh masyarakat Melayu Brunei di masa lalu termasuklah adat mengundang atau menjemput dengan menghantar surat jemputan yang penuh beradat dan berbudi bahasa. Amalan serupa ini juga masih diamalkan di Pulau Sedanau.

Majlis perkahwinan di kalangan masyarakat Melayu di Pulau Sedanau.
Majlis perkahwinan di kalangan masyarakat Melayu di Pulau Sedanau.

Tanpa adanya tata cara atau pengolahan jemputan yang sempurna dan penuh beradat pihak yang dijemput tidak akan menghadirkan diri di majlis yang akan diadakan. Yang penting bukan setakat hadir di majlis tersebut tetapi melibatkan diri secara aktif dengan semangat kekitaan dalam kerja-kerja persediaan untuk menjayakan majlis itu. Amalan ini merupakan adat dan budaya tamadun Melayu yang ingin dikekalkan bagi mewujudkan suasana keharmonian dan kedamaian hidup bermasyarakat dan bernegara yang sepatutnya dikekalkan dalam era globalisasai masa kini. Inilah juga nilai-nilai MIB yang perlu dikukuhkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di Negara Brunei Darussalam.

Di samping persamaan dari segi sosio-budaya kehidupan bermasyakarat Brunei di masa lalu dengan penduduk Melayu Sedanau, persamaan dalam kehidupan perekonomian juga turut terserlah. Kehidupan mereka juga banyak bergantung kepada kegiatan perikanan iaitu menangkap ikan secara tradisi di samping mengikuti perkembangan perekonomian masa kini seperti projek memelihara ikan yang terpilih misalnya ikan Napolean yang berharga mencecah $100 sekilo. Hal sumber ekonomi kelautan sedemikian ini didapati mempunyai persamaan dengan masyarakat Brunei di Kampung Ayer suatu ketika dulu. Masyarakat Kampung Ayer ini juga mempunyai kemahiran dalam kraftangan seperti menganyam tudung saji dan kreativiti pembuatan kuih-kuih Melayu yang kebanyakannya berbahankan ikan dan ambulung yang mempunyai persamaan dengan masyarakat Kampung Ayer Brunei.

Pembuatan atau anyaman tudung saji masih giat dijalankan oleh masyarakat Pulau Sedanau kerana penggunaannya yang meluas, lumrah dan membudaya. Hal ini terbukti dalam cara penghidangan makanan ‘bersaprah’ yang masih menggunakan tudung saji dan dihidangkan dalam talam untuk empat orang sehidang. Justeru, keakraban ukhwah masyarakatnya terpancar dalam sistem dan penyajian makanan ini. Adat duduk bersila bagi kaum lelaki dan bertimpuh bagi kaum wanita masih diamalkan. Ahli keluarga atau masyarakat duduk bersama sejajar dalam suasana damai dan penuh beradat. Suasana dan amalan perlakuan seperti ini tidak asing bagi masyarakat Melayu Brunei Kampong Ayer dahulu.

Daripada persamaan perlakuan adat dan budaya yang masih diamalkan di Pulau Sedanau ini jelas membuktikan amalan nilai-nilai MIB di negara kita memang sudah wujud berkurun lamanya. Ianya adalah satu warisan tradisi yang membuktikan akan kesuhuran bangsa Melayu yang mempunyai adat, bahasa, budaya dan agama yang menggambar identiti kemelayuan dan menjadi asas kemasyhuran tamadun Melayu di zaman silam.

Oleh itu, kita dan generasi baru masa kini hendaklah mempunyai semangat nasionalis kemelayuan yang kukuh untuk mempertahankan nilai-nilai murni bangsa Melayu yang menjadi sandaran kepada falsafah Negara Melayu Islam Beraja untuk kesejahteraan dan keselamatan hidup dunia dan akhirat.

ARTIKEL YANG SAMA