Ketamadunan Melayu berlandaskan Islam

Ketamadunan Melayu berlandaskan Islam

Oleh Dr. Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong

Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

 

PADA 29 Muharram 1438 bersamaan 30 Oktober 2016 Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja telah di undang untuk menyertai Seminar International, yang bertema Tamadun Melayu dan Transformasi Masyarakat Ekonomi ASEAN: Perspektif Natuna Cerdas dan Beradabaan. Seminar yang berlangsung selama dua hari itu disertai oleh golongan cendekiawan dan ahli akademik serta penuntut-penuntut dan orang perseorangan dari Negara Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura dan Brunei. Seminar tersebut telah dianjurkan oleh Sekolah Tinggi Agama Islam, Kubapaten Natuna, Indonesia.

Perkara pokok yang dibincangkan adalah mengenai ketamadunan Melayu dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memelihara dan mengembangkan ketamadunan Melayu dalam era globalisasi yang penuh cabaran terutamanya dalam bidang ekonomi dan sosiobudaya. Dalam seminar dua hari itu sebanyak 6 buah kertas kerja termasuk ucaptama oleh Bapak Bupati Natuna, Drs H.M. Hamid Rizal, yang menjadi tetamu kehormat dalam seminar tersebut.

Pada umumnya kandungan kertas kerja yang disampaikan adalah membincangkan tentang ketamadunan bangsa Melayu dengan memfokuskan kepada isu pemeliharaan, pengekalan dan pengembangan semula semua aspek kehidupan terutama sosiobudaya dan ekonomi yang sentiasa tercabar dalam era globalisasi masa kini.

Ini jelas berdasarkan kepada realiti yang dihadapi oleh bangsa Melayu dewasa ini di mana dari segi politik dan juga ekonomi bangsa luar telah mulai menguasai bahkan monopoli bidang ini akibat daripada kelalaian dan kemungkinan kesilapan bangsa Melayu pada zaman silam.

Oleh itu, bertepatan dengan tema seminar, dalam kertas kerja tuan rumah yang bertajuk Restorasi Tamadun Melayu Dalam Perspektif Natuna Cerdas, Mandiri dan Berkeadaban, Bapak Umar Natuna menjelaskan bahawa bagi mewujudkan keimanan dan budaya Melayu mestilah berasaskan dua sasaran iaitu pertama mewujudkan masyarakat berbudaya dan berakhlak dan kedua melestarikan seni budaya Melayu bersandarkan keagamaan.

Perwakilan dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang menyertai Seminar International, di Natuna, Indonesia.
Perwakilan dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang menyertai Seminar International, di Natuna, Indonesia.

MIB LOGO 2016 FA email 4OCT 2

Dengan lain perkataan, bagi pembangunan dan perkembangan ketamadunan Melayu iaitu dalam semua aspek kehidupan mestilah berpaksikan kepada Agama Islam sebagaimana yang pernah dilalui oleh masyarakat Natuna khususnya dan bangsa Melayu umumnya. Lantaran itu, bagi mencapai matlamat untuk membangun dan mengukuhkan kembali keagungan dan kecemerlangan ketamadunan Melayu masa lalu hendaklah berpaksi kepada nilai-nilai keislaman yang menjadi asas pegangan.

Sejajar dengan tema seminar yang berfokus kepada ketamadunan Melayu, di Majlis Suaikenal hari pertama, para peserta dari luar negeri telah dijamu makan malam secara tradisi iaitu makan sehidang empat orang, di mana makanan diletakkan di atas talam dan ditutup dengan tudung saji. Tradisi makan setalam ini merupakan tradisi bangsa Melayu yang diamalkan ratusan tahun yang lalu bahkan juga masih ada lagi diamalkan dalam kalangan segelintir masyarakat Melayu Brunei.

Tradisi ini adalah satu amalan yang amat baik menggambarkan kesopanan, budi bahasa, bahkan menambahkan kebisaian dan kemajlisan upacara tersebut. Malah amalan seperti ini juga mengeratkan dan merapatkan lagi hubungan silaturahim dan kekerabatan iaitu yang dekat didekatkan yang jauh dieratkan. Ini adalah satu gambaran di mana satu daripada warisan tradisi ketamadunan Melayu yang hampir pupus ditelan oleh peredaran zaman.

Perkara yang menarik ialah makanan hidangannya adalah makanan Melayu tradisi masyarakat Natuna yang terkenal dengan Tabal Mando, Kernas/Kasam dan Pedek Pasek.

Bagi Negara Brunei Darussalam, kita amat bersyukur kerana ketamadunan yang kita warisi dan terus amalkan adalah berunsur tradisi dan berpaksikan agama Islam yang terkandung dalam falsafah Negara Melayu Islam Beraja. Perkara ini telah diperjelaskan oleh pembentang kertas kerja dari Negara Brunei Darussalam iaitu Prof Madya Ampuan Dr. Haji Brahim Bin Ampuan Haji Tengah, dari Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam. Tajuk kertas kerja beliau ialah Ketamadunan Melayu dan Transformasi Masyarakat Ekonomi ASEAN: ‘Brunei dan Wawasan 2035’.

Perkara yang ditonjolkan

Perkara utama yang ditonjolkan dalam kertas kerja beliau ialah mengenai peranan Ugama Islam dalam memperkukuhkan dan mengekalkan ketamadunan Melayu Brunei berasaskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja. Kita bukan sahaja dapat mempertahankan dan mengekalkan nilai kemelayuan dan keislaman dalam ketamadunan Melayu Brunei bahkan juga nilai dan unsur-unsur sistem politik beraja. Memang diperakui bahawa kuasa politik yang dimiliki oleh bangsa Melayu yang bersandarkan sistem beraja pada zaman silam adalah juga merupakan kunci yang menentukan keutuhan kedudukan bangsa Melayu dan pengamalan Agama Islam.

Bagaimana pun berdasarkan kepada perubahan peredaran zaman dan kemajuan teknologi maklumat, maka langkah bagi pengekalan dan pengembangan ketamadunan Melayu dewasa ini mestilah bersandarkan ajaran-ajaran dan nilai-nilai yang terdapat dalam Ugama Islam bagi memastikan kelangsungan bangsa Melayu.

Bagi Negara Brunei Darussalam, sistem beraja yang berusia lebih dari 1,000 tahun ini adalah merupakan warisan tradisi yang menjadi penegak kepada ketamadunan Melayu Brunei yang berpegang kepada agama Islam sejak abad ke-14 Masihi dan menjadi cara hidup masyarakat bagi mencapai Wawasan Negara 2035.

Tetamu seminar telah dijamukan makan malam secara budaya Melayu tradisi setalam empat orang yang bertutupkan tudung saji dengan makanan tradisi di Pulau Natuna.
Tetamu seminar telah dijamukan makan malam secara budaya Melayu tradisi setalam empat orang yang bertutupkan tudung saji dengan makanan tradisi di Pulau Natuna.
Para tetamu dari Brunei telah dijamu makan malam secara tradisi setalam empat orang oleh keluarga yang berasal dari Brunei di Pulau Sedanau.
Para tetamu dari Brunei telah dijamu makan malam secara tradisi setalam empat orang oleh keluarga yang berasal dari Brunei di Pulau Sedanau.

Kita amat berbangga kerana masih dapat mengekalkan dan mengamalkan sistem beraja berkuasa mutlak iaitu enam daripada negara di dunia yang masih bertahan bahkan satu-satunya Negara Melayu yang mengamalkan sistem beraja dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Dalam era globalisasi ini ketamadunan yang kita amalkan tetap mengharungi arus perubahan dan peredaran zaman khususnya dalam bidang budaya, sosial, politik bahkan ekonomi.

Ini merupakan cabaran bukan sahaja bagi masyarakat Brunei bahkan juga bagi semua bangsa Melayu dalam kalangan Negara ASEAN. Oleh itu, bagi mengembalikan maruah dan martabat dan kedaulatan ketamadunan bangsa Melayu perlu diadakan kerjasama yang kukuh dan erat dalam semua bidang termasuk ekonomi dan sosiobudaya bagi memelihara warisan tradisi bangsa Melayu.

Sebagai rujukan dan panduan, kita perlu menyingkap kembali lipatan sejarah silam, yang pernah dilalui oleh bangsa Melayu Nusantara, bagaimana mereka telah melakar nama bangsa Melayu dalam ristaan sejarah yang pernah terkenal dan berpengaruh di Alam Melayu sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat pada abad ke-16.

Bahkan Pulau Natuna sendiri tempat seminar ini diadakan memang terkenal dalam lipatan sejarah bangsa Melayu sebagai pusat perdagangan dan persinggahan peniaga-peniaga dari China, Arab, Siam, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia dan Semenanjung Tanah Melayu ratusan tahun yang lalu khususnya setelah wujudnya kerajaan kesultanan di kepulauan ini.

Ini dapat dibuktikan berdasarkan peninggalan kesan sejarah dan penemuan artifak-artifak berbentuk ceramik dari Dinasti Sung, Hui dan Ming serta material budaya Melayu yang tersimpan di Muzium Sri Serindit, Kabupaten Natuna.

Dalam muzium tersebut terdapat banyak kesan sejarah yang menggambarkan kewujudan ketamadunan Melayu di Pulau Natuna yang mempunyai hubungan persahabatan dan kekeluargaan dengan bangsa Melayu di Nusantara.

Misalnya di Pulau Sedanau, Kabupaten Natuna, rombongan dari Brunei telah berkesempatan menjadi tetamu salah seorang keluarga yang mengakui berasal dari Brunei di mana keturunannya dikatakan telah berhijrah ke pulau ini sekitar 200 tahun iaitu dalam era pemerintahan Sultan Muhammad Kanzul Alam. Perkara ini memang tidak dinafikan berdasarkan catatan sejarah bahawa peniaga-peniaga dari Brunei ada yang berniaga ke Singapura, Pulau Pinang, dan Thailand, serta Campa. Memandangkan Kepulauan Natuna adalah terletak di tengah-tengah Laut China Selatan dalam perjalanan dari Brunei ke Singapura, Johor dan sebagainya maka tidak mustahil ada antara peniaga-peniaga Brunei khususnya yang berasal dari Kampung Ayer telah singgah untuk mengambil air atau makanan bahkan terus bermastautin di pulau itu.

Hal ini jelas berdasarkan kepada bukti warkah Sultan Muhammad Kanzul Alam yang meminta bantuan Gabenor Singapura untuk membenarkan dan melindungi peniaga-peniaga yang datang dari Brunei untuk berniaga di kawasan pengaruh British. Ini memandangkan peniaga-peniaga Brunei memiliki kapal-kapal yang kecil dalam mengharungi Laut China Selatan. Inilah gambaran kecemerlangan Melayu pada zaman silam yang patut kita bangun semula berasaskan kepada nilai-nilai kesilaman.

Dengan adanya seminar seperti ini, kita telah dapat perkongsian ilmu dan maklumat khususnya mengenai ketamadunan Brunei yang beracuan Melayu Islam Beraja untuk dapat dima nfaatkan dalam kita sama-sama membina kehidupan yang bersandar kepada keislaman sebagaimana harapan yang terpapar dalam Seminar International di Kepulauan Natuna, Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA