Ketengahkan Permata Seni Muzik

Ketengahkan Permata Seni Muzik

KOTA KINABALU, 26 Mei (Bernama) – Festival tahunan Sunset Music Fest at the Tip of Borneo kembali semula buat kali kesembilan dan kali ini festival muzik itu akan mengetengahkan artis tempatan yang akan mempersembahkan bakat masing-masing dalam konsert dua hari itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata dalam konsert bermula pada 5 petang 5 Jun ini, artis tempatan akan mempersembahkan dendangan lagu popular masa kini dan malar segar yang membuatkan penonton terutamanya pelancong, ikut menari.

“Konsert terbuka paling besar itu akan turut mengetengahkan barisan artis daripada bakat tempatan yang akan mempersembahkan pelbagai himpunan muzik dan lagu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Penonton akan turut menikmati persembahan termasuk oleh kumpulan tarian yang pernah menang anugerah, Flexible Crew, dan penyanyi terdiri daripada Norbert Andilah, Francis Landong, The Deep Buskers, La Cantabile (lagu klasik) dan Apprilisa Sue Ann.

Masidi berkata turut diketengahkan dalam festival tahun ini ialah Permata Seni Muzik, merupakan program khas untuk memberi pendedahan anggotanya kepada persembahan bertaraf antarabangsa di bawah bidang kuasa Istana Budaya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi.

Festival itu dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di bawah naungan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Masidi berkata perkhidmatan bas ulang-alik dari Kota Kinabalu (KK) ke Kudat dan kembali ke KK dijual pada kedua-dua hari berkenaan kepada pemegang tiket dengan hanya RM30 seorang.

Tiket berharga RM50 untuk masuk sehari dan RM80 bagi pas dua hari. Mereka yang berminat boleh menghubungi STB di talian 088212121 atau Sri Pelancongan Sabah 088-232121.

Sementara itu, Masidi berkata peminat konsert digalakkan agar mengambil peluang untuk meneroka bandar Kudat semasa hujung minggu itu.

“Pergilah ke Sidek Esplanade dan sertai pelbagai aktiviti yang diadakan semasa Festival Kudat dari 11 hingga 14 Jun tahun ini,” katanya.

Pengunjung yang ingin merasai pengalaman menginap di rumah panjang tradisional Rungus boleh mengunjungi kampung Bavanggazo dan destinasi menarik termasuk kampung Sumangkap (kilang membuat gong) dan kampung Gombizau (ladang lebah madu).