Ketiadaan bintang jejas kedudukan Golf Olimpik Tokyo 2020

Ketiadaan bintang jejas kedudukan Golf Olimpik Tokyo 2020

PARIS, 15 Julai – Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, berkata kekurangan bintang golf pada Sukan Olimpik Rio bakal menjadi penentu sama ada sukan itu akan dikekalkan pada Olimpik Tokyo 2020.

Empat pemain terbaik dunia – Jason Day, Dustin Johnson, Jordan Spieth dan Rory McIlroy – adalah antara 20 pemain golf yang menarik diri daripada Olimpik, ketika sukan golf kembali ke temasya itu selepas 112 tahun.

Kebanyakannya menyatakan kebimbangan terhadap virus Zika tetapi penarikan diri itu menimbulkan persoalan sama ada golf akan terus kekal di Olimpik.

Bach berkata, kehadiran bintang terkemuka dalam sukan itu akan menjadi “salah satu kategori utama” bagi penilaian selepas Rio.

“Kita perlu menghormati keputusan individu biarpun ia adalah bertentangan dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengenai Zika,” kata Bach apabila ditanya mengenai penarikan diri pemain golf berkenaan.

“Kami lihat kini dalam perbincangan komuniti golf, jelas sekali ada perbezaan yang besar mengenai alasan untuk tidak ke Rio, bukan berkait dengan Zika.

“Dan kami juga mengikuti perbincangan dalam komuniti golf apa yang menyebabkan mereka membuat keputusan itu dan apa penilaian mereka.”

Bach berkata, saingan di Olimpik sukan itu juga akan dinilai dengan sukan lain. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA