Ketiadaan Messi diganti Neymar

Ketiadaan Messi diganti Neymar

MADRID, 19 Okt – Persembahan menakjubkan Neymar memastikan ketiadaan Lionel Messi tidak menjejaskan Barcelona apabila bintang Brazil itu meledak empat gol sekali gus membantu juara Eropah itu bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Rayo Vallecano 5-2, awal pagi semalam.

Real Madrid mendahului Barca di tangga teratas La Liga menerusi kelebihan jaringan selepas Cristiano Ronaldo muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab gergasi Sepanyol itu ketika membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Levante.

Javi Guerra memberikan gol pendahuluan buat Rayo di Nou Camp, tetapi Neymar menyempurnakan dua penalti selepas dia dijatuhkan sekali gus membolehkan tuan rumah mendahului pada babak pertama.

Pemain Brazil itu menghasilkan dua lagi gol dalam tempoh seminit selepas rehat dan dia melorongkan bola yang kemudiannya disudahkan Luis Suarez untuk gol kelima sebelum Jozabed menjaringkan gol kedua pelawat ketika Barca bangkit daripada kekalahan 1-2 di tangan Sevilla sebelum rehat antarabangsa.

Neymar mampu menggalas peranan di bahagian serangan ketika ketiadaan Messi. - Reuters
Neymar mampu menggalas peranan di bahagian serangan ketika ketiadaan Messi. – Reuters

“Saya gembira dengan kejayaan ini serta corak permainan kami. Semua pemain berhak dipuji,” kata Neymar.

“Perlawanan tadi memang sukar. Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti yang mampu mempamer permainan bola sepak sebenar. Kami agak tertekan tapi kami berjaya melaksanakan tugas dengan baik.”

Di Santiago Bernabeu, Ronaldo menghasilkan gol ke-324 buat Madrid pada penampilan ke-310 selepas Marcelo dan Jese Rodriguez turut mencatat nama selaku penjaring.

Real menyenaraikan tujuh pemain akademi berikutan ketiadaan Sergio Ramos, Luka Modric, James Rodriguez dan Karim Benzema gara-gara kecederaan dan jurulatih Rafael Benitez gembira dengan kejayaan itu walaupun kehilangan ramai pemain.

“Pasukan kami agak tempang dan kemenangan 3-0 ini adalah sesuatu yang sangat positif memandangkan kami menurunkan ramai pemain muda,” kata bekas pengendali Liverpool itu. – AFP